Sunday, January 31, 2010

Aku Rela

Telah ku rela nama dan diri menjadi sasaran
Kerana cinta, aku berkorban
Telah ku rela segala tohmahan bermaharajalela
Kerana cinta, aku terpaksa

Kerana cinta jua aku berbicara
Dengan nada insan terluka
Meluah rasa, meluah fakta, mencedera jiwa
Semuanya kerana cinta…

Biarku tanggung rasa derita..
Asalkan agama, selamat akhirnya..
Yang membantah, hanya berfalsafah..
Kerana bimbang suapan harian

Dengan menjual nama Tuhan..
Lalu kebenaran disingkirkan,
Demi hidangan belian pendustaan
Namun aku yang sengsara zahirnya

Redha telah pun penuhi jiwa
Dalam keletihan ini.. aku bahagia

Kerana..
Pada kebenaran itulah terasa nikmat syurga.

Album : Yang Benar Tetap Benar
Munsyid : Algebra
http://liriknasyid.com

Saturday, January 23, 2010

Aku Mahu Jadi Pemuda Itu...


Di manakah dapat ku cari...

Seorang pemuda yang matanya cepat menangis,

Kerana takutkan ALLAH.

Di manakah dapat ku cari...

Seorang pemuda yang hatinya lembut,

Kerana cintakan Rasul...

Di manakah dapat ku cari...

Seorang pemuda yang menundukkan hawa nafsunya,

Untuk mengikut pedoman Rasul kerana cintakan ALLAH.

Di manakah dapat ku cari...

Seorang pemuda yang siangnya lesu,

Malamnya tegar berdiri.

Di manakah dapat kucari...

Seorang pemuda yang dunianya zuhud,

Akhiratnya tamak.

Apakah dapat ku temu jasad-jasad seperti itu,

Jiwa-jiwa seperti itu,

Apakah mata ku buta dalam memberi penilaian,

Apakah silap hidungku kerana tidak dapat menghidu,

Apakah hatiku mati hingga tidak dapat mengesan,

Persetankan semua itu, aku tetap ingin mencari,

Mencari jiwa pemuda yang tenang dalam agamanya,

Mencari roh yang tegar atas jalan yang lurus,

Mencari hati yang cintakan ALLAH dan Rasul-Nya,

Mencari dada yang selamat aqidahnya,

Mencari jasad yang sudah haus kerana ibadat.


Lalu...

Mengapa perlu aku mencari semua itu,

Aku juga pemuda,

Aku juga mempunyai hati,

Aku juga mempunyai jasad dan jiwa,

Air mata ku juga masih tidak kering untuk menangis,

Aku juga ada agama yang ku anuti,

Lalu...

Mengapa aku perlu mencari semua itu,

Sedangkan aku ada jiwa yang harus aku didik,

Aku ada roh yang perlu kau tarbiyah,

Aku ada hati untuk disemai benih cintakan ALLAH dan Rasulnya,

Ya ALLAH mengapa jiwa ku yang muda ini di siakan,

Ya ALLAH aku mahu jadi pemuda...

Aku mahu jadi pemuda yang jiwanya,

Jasadnya, hatinya, nafsunya dan seluruhnya,

Taat dalam kecintaan kepada Mu,

Taat dalam kecintaan kepada Rasul Mu,

Aku mahu jadi pemuda itu,

Aku mahu jadi pemuda yang ku cari itu,

Diriku masih hanyut,

Aku juga pemuda tetapi tidak seperti mereka,

AKU MAHU JADI PEMUDA ITU...

YA ALLAH TUNJUKKAN AKU JALAN YANG LURUS....

***Saya dedikasikan sajak di atas kepada semua sahabat-sahabat Muslimeen. Semoga kita dapat menjadi seperti pemuda itu untuk mengharungi jalan dakwah yang panjang ini...***

Irama & Lagu...Tidak Dapat Dipisahkan!


“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” ~ (al-I’mran : 110).

Ibarat irama dan lagu, ianya tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan antara keduanya, rosaklah lagu, pincanglah irama... Begitu juga dengan Tarbiyyah dan Dakwah. Tarbiyyah dan Dakwah juga tidak dapat dipisahkan dalam Islam. Tarbiyyah membawa maksud latihan pendidikan berterusan untuk melengkapkan individu muslim dengan segala aspek rohani, jasmani, emosi, sosial, intelek dan kemahiran. Dakwah adalah usha menyeru ke jalan Allah dengan mengamalkan segala seruan dan meninggalkan segala larangannya.

Pentingkah Tarbiyyah?

Tarbiyyah umpama bahan bakar bagi diri individu yang akan melaksanakan dakwah. Tanpa bahan bakar yang sesuai, cukup dan boleh bertahan lama, ia akan menyebabkan nafas perjalanan dakwah seseorang individu itu tidak tahan lama dan akan berhenti pada bila-bila masa sahaja.

Pentingkah Dakwah?

Sumber hidayah ada dua:
1. hidayah tidak mutlak dari rasul dan pendakwah.
2. hidayah mutlak dari Allah.

Dalam surah Al-Fatihah ayat 6, bermaksud “ tunjukkan kami jalan yang lurus”. Menurut Quraish Shihab, penggunaan kami di sini menjelaskan dua sebab:
1. Hidayah tidak cukup jika ia hanya dimiliki oleh seorang sahaja. Satu firkah atau kumpulan perlu diberikan hidayah supaya untuk memastikan individu lain berada di atas jalan yang lurus. Jika A mendapat hidayah tetapi orang sekelilingnya tidak, ia akan mengancam hidayah keimanan yang ada dalam diri A.
2. Hidayah tidak mutlak ini diperolehi daripadausaha sesame manusia dan ia akan menjadi asas hidayah mutlak yang hadir daripada Allah.
Tidak lain dan tidak bukan untuk merealisasikan fakta kedua di atas, maka usaha dakwah amat diperlukan. Dakwah adalah usaha sesame manusia untuk memiliki hidayah mutlak disisi Allah. Tidak mungkin Allah memberi hidayah begitu sahaja tanpa usaha daripada manusia sendiri. Dakwah juga adalah tugas para rasul yang menunjukkan nilai pengorbanan yang tinggi. Individu yang masih belum melaksanakan dakwah masih belum cukup pengorbanan dan tidak layak untuk mengaku sebagai ummat nabi Muhammad s.a.w.

Mari kita renungi bersama duhai sahabat...

Apakah Kesan Tarbiyyah Tanpa Dakwah?

Tarbiyyah berperanan seperti air dalam badan manusia. Air ini perlu bergerak dan dijelmakan dalam pelbagai bentuk seperti darah, plasma, bendalir sel dan pelbagai lagi. Jika air tersebut tidak bergerak dan terperam dalam badan kelak ia akan membusuk dan bias mengundang pelbagai penyakit. Begitu juga segala ilmu dan potensi yang dibina dalam tarbiyyah tetapi tidak diterjemahkan dalam bentuk aplikasi dakwah akan menyebabkan seseorang itu dihinggapi pelbagai penyakit hati sehingga dia lebih suka menjadi hakim yang menghukum daripada penyeru kearah kebenaran. Tanpa dakwah tarbiyyah akan merosakkan diri seseorang kerana merasakan dirinya sahaja yang betul dan individu lain salah.

Apakah Kesan Dakwah Tanpa Tarbiyyah?

Seperti perumpamaan tadi, tarbiyyah adalah air yang memberi tenaga dan modal buat si pendakwah untuk terus bergerak. Jika pada awalnya si pendakwah bersemangat untuk menyeru manusia kepada kebaikan, tetapi tanpa bekalan tarbiyyah yang dibekalkan secara terus-menerus maka dia akan semakin lemah dan tidak berdaya. Apabila ketandusan air, bukan sahaja dakwah tidak dapat dilaksanakan dengan baik malah kekadang si pendakwah itu sendiri merasa letih dan tidak mampu untuk meneruskan usaha dakwahnya. Inilah asas kepada gejala keciciran yang berlaku kepada para dai’e dalam medan dakwah. Tanpa tarbiyyah seseorang itu tidak akan bertahan lama di medan dakwah yang penuh mehnah dan tribulasi ini.

Wallahu'alam.



"Born To Be Da'ie, Born To Be Murobbi"

Thursday, January 21, 2010

.: Teman Muhasabah HEWI PMI KEMBALI!!! :.




Perhatian kepada semua Mahasiswi UTM, anda dijemput beramai-ramai untuk menghadiri Teman Muhasabah HEWI PMIUTM esok. Pengisian MENARIK menanti anda!!!

Wednesday, January 20, 2010

Jagalah Hati


Hati yang BERSIH,
Ibarat cahaya yang sentiasa memancar,
menembusi lutsinar di waktu siang dan malam,
menerangi keseluruhan alam.

Hati yang BERSIH,
hanya takut pada yang Maha Pencipta,
mengenal dirinya sebagai hamba yang hina,
sentiasa rukuk dan sujud pada yang Maha Esa.

Hati yang BERSIH,
tiada setitik pun perasaan riak,
meruntuhkan kesombongan jiwa yang lara,
menghacurkan ego yang bertakhta di dada.

Hati yang BERSIH,
ibarat air yang jernih,
mengalir deras tanpa henti,
berzikir memuji kebesaran Ilahi.

Hati yang BERSIH,
sentiasa ramah dan manis dalam senyuman,
biar pahit mahupun kelat,
pasti gagah merentasi bara ujian.

Hati yang BERSIH,
lemah lembut bicaramu,
berisi setiap ucapanmu,
menyalurkan ketenangan pada pendegarmu.

Hati yang BERSIH,
tiada henti menangis dan merintih,
bukan kerana dosa mahupun sedih,
tapi kerana cintanya pada Allah.

Hati yang BERSIH,
ibarat mutiara putih di dasar laut,
tersembunyi dan tersimpan sepi,
hanya mampu dimiliki pada mereka yang suci.

Pilihan Raya Kampus BAKAL Berlangsung

Selamat Mengundi kepada seluruh mahasiswa mahasiswi UTM. Tunaikan tanggungjawab anda sebaiknya.

Sunday, January 10, 2010

.: Melahirkan Negarawan Tarbiyyah :.

Apabila disebut tentang melahirkan Negarawan Tarbiyyah, apakah yang sahabat-sahabat fahami tentang konsep ini? Bagi saya, secara peribadinya, negarawan tarbiyyah yang dimaksudkan adalah seorang pemimpin yang memiliki ilmu Islam yang mengakar, pengetahuan serta pemikiran yang mapan, idealis dan konsisten,di samping memberi sumbangan dalam menyelesaikan permasalahan umat.

Konsep Negarawan Tarbiyyah

Konsep negarawan tarbiyyah yang saya bincangkan ini adalah merupakan satu lontaran idea kepada satu permasalahan yang wujud pada hari ini, iaitu krisis kepimpinan. Memandangkan mahsiswa hari ini adalah merupakan bakal pemimpin negara Malaysia suatu masa nanti, maka ianya dirasakan satu konsep yang perlu dipraktikkan secara serius bermula dari sekarang, iaitu ketika berada di alam kampus supaya negarawan yang dilahirkan ini mampu memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan.

Ciri-ciri Negarawan Tarbiyyah

Bilamana konsep negarawan tarbiyyah ini dilontarkan ke pemikiran kita, maka seterusnya mungkin ada yang mempersoalkan tentang apakah ciri-ciri ataupun kriteria yang boleh memenuhi sifat sebagai nagarawan tarbiyyah? Secara jujurnya, tidak ada ciri-ciri yang khusus untuk dipadankan dengan konsep yang cuba dilontarkan. Namun, apa yang dapat saya kongsikan dengan sahabat-sahabat pembaca bagaimana di Indonesia, konsep yang hampir sama dilontarkan oleh KAMMI, sebuah gerakan mahasiswa yang aktif memperjuangkan suara mahasiswa di sana. Terdapat 3 element utama ataupun ciri yang harus dimiliki dalam usaha membentuk negarawan tarbiyyah ini.

Pertama, modal intelektual. Inilah merupakan salah satu modal terbesar yang harus dimiliki oleh generasi mahasiswa kita pada hari ini. Menurut Jalaludin Rahmat, intelektual adalah gabungan dari ilmuan, teknokrat dan moralis. Mungkin timbul pula persoalan kenapa mahasiswa mesti memiliki modal intelektual? Secara jelasnya, modal intelektual mutlak yang dimiliki adalah sebagai satu medium untuk membaca dan menganalisa fenomea yang terjadi di sekeliling kita. Semakin banyak mahasiswa mengkaji wacana-wacana sosial maka semakin peka dan tinggi pembacaannya tentang keadaan yang terjadi pada hari ini.

Kedua, penglibatan mahasiswa dalam jaringan atau politik kampus. Memang kita tidak dapat menafikan bahawa suatu masa dahulu kampus adalah medan yang telah melahirkan ramai tokoh-tokoh besar dan berpengaruh pada hari ini. Nama-nama seperti Datuk Mohammed Khalid Nordin, Datuk Saifudin Abdullah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi tokoh yang mencorakkan politik tanah air pada hari ini adalah merupakan pimpinan mahasiswa yang sangat aktif ketika zaman mahasiswa mereka suatu ketika dahulu. Justeru, mahasiswa hari ini perlu melibatkan diri secara aktif di peringkat universiti sebagai golongan yang mempunyai idealism yang tersendiri serta mampu membina ketokohan dan pengaruh tersendiri, bukannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Ketiga, spiritual sosial, iaitu hubungan sosial yang dibina oleh mahasiswa yang terlibat secara aktif dalam orientasi dakwah terutamanya. Selama ini, jika dapat kita perhatikan, orientasi dakwah hanya berpusat kepada keupayaan mewujudkan pembaikan dan keizzahan peribadi sendiri dan bukannya keizzahan sosial (masyarakat mahasiswa). Dalam usaha melahirkan negarawan tarbiyyah ini, maka kita memerlukan mahasiswa yang mampu membentuk kondisi sosial yang baik. Perkara ini perlu ditiikberatkan kerana spiritual sosial adalah suatu keadaan yang harus dibina dalam rangka membumikan nilai-nilai ketuhanan dalam suatu masyarakat.

Kesimpulannya, konsep negarawan tarbiyyah ini merupakan lontaran idea yang perlu dikaji secara serius oleh pelbagai pihak yang terlibat supaya suatu mekanisme pembentukan yang praktikal dapat dijalankan untuk melahirkan negarawan tarbiyyah yang dicita-cita, InsyaAllah.