Wednesday, July 27, 2011

Takkan Melayu Hilang di Dunia? -Part 1-

Salaamun ala manittaba'al huda.

Umum mengetahui bahawa, perjuangan bangsa tidak pernah dibawa oleh Rasulullah SAW kecuali perjuangannya adalah untuk menegakkan agama Islam. Ini kerana, di sis agama Islam, bangsa bukanlah menjadi ukuran di sisi Allah SWT kecuali TAQWA. Pada hari ini, sebahagian umat Islam telah didoktrin dengan perjuangan bangsa sehingga timbulnya rasa kurang senang di kalangan sebahagian mereka yang lain khususnya daripada bangsa yang lain. Perjuangan berteraskan nasionalisme ini patut dihindari oleh semua bangsa dan kaum bagi mengelakkan rasa prasangka dan curiga khususnya bagi penduduk Malaysia.


Perjuangan berteraskan nasionalisme perlu ditolak.

Sifat perkauman yang berlebihan boleh memberi mudharat yang lebih besar dalam komuniti masyarakat majmuk di Malaysia pada hari ini. Realiti hari ini juga memperlihatkan kepada kita bahawa kaum-kaum ataupun bangsa-bangsa yang wujud ini cuba untuk mendapatkan hak masing-masing sehingga mengenepikan nilai agama yang dianuti. Islam yang datang telah menyatakan dengan jelas bahawa bumi ini tidak semestinya diwarisi oleh peribumi, tetapi akan dipusakai oleh mereka ataupun generasi yang soleh sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis di dalam) Lauh Al-Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh” (Al-Anbiya:105)


Kembali kepada Islam yang sebanar.

Apa yang berlaku kepada umat Melayu Islam khususnya di Malaysia ini sangat mendukacitakan. Walaupun umat Melayu ini adalah rata-ratanya umat Islam, namun apa yang berlaku kepada bangsa Melayu cukup menghibakan. Islam yang sebenar dilihat gagal untuk dihayati oleh umat Melayu sehingga menyebabkan diri mereka dilihat menjadi lemah. Walaupun ada peruntukan-peruntukan khas yang disediakan seperti hak Istimewa orang Melayu, kita masih lemah. Umat Melayu lemah bukan kerana bangsa lain hebat, tetapi kita lemah kerana perbuatan diri kita sendiri.

Islam yang kita anuti hanya sebagai ”pakaian luar” semata-mata. Kita gagal menghayati apa yang disuruh oleh Islam itu sendiri. Kita sibuk berjuang di atas nama ketuanan Melayu tetapi mengetepikan apa yang dikehendai oleh Islam yang sebenar. Sejarah telah membuktikan bahawa sesuatu bangsa itu hancur disebabkan berlakunya kerosakan akhlak, perpecahan dan yang lebih malang adalah Islam telah tercabut dalam dirinya

Firman Allah SWT:
“Maka tiap-tiap (mereka itu) Kami binasakan disebabkan dosanya, ada yang Kami timpakan angin ribut hujan batu kerikil dan ada dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi, ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan tenggelamkan di laut, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiayai mereka, tetapi merekalah yang menganiayai diri sendiri.”(Al-Ankabut: 40)

Monday, July 25, 2011

Selangkah Menuju ke Gerbang Universiti Ramadhan



Salaamun ala manittaba’al huda.

Alhamdulillah, setelah lama tidak meng”update” blog ini, akhirnya hari ini saya berpeluang untuk mencoret sedikit sebanyak perkongsian berkaitan Ramadhan. Semoga selepas ini saya akan terus istiqamah untuk terus membuat perkongsian dengan sahabat sahabiah semua, biiznillah. Mohon doanya ye..(^_^)v


Ciri-ciri Universiti of Ramadhan

• Masa – sebulan sahaja ditawarkan setiap tahun
• Syarat kemasukan - Islam, berakal, baligh, tidak haid dan nifas
• Kursus yang ditawarkan - PUASA
• Nama ijazah - TAQWA



Taqwa bermaksud Penghalang atau Pencegah. Taqwa inilah yang diperlukan untuk mencapai Jannah yakni syurga Allah di samping memohon keredhaan-Nya. Sementara puasa pula adalah salah satu cara untuk mendapatkan Taqwa.



Berdoa Untuk Sampai ke Ramadhan

Diriwayatkan dari Imam Ahmad – sanad Hadis Dhaif – daripada Anas ra berkata: “adalah Rasulullah saw apabila masuk bulan Rejab baginda berdo’a:

“ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami pada bulan Ramadhan.

Membaca Al-Quran

Membaca al-Qur’an di bulan Sya’ban merupakan penggilap karat-karat hati dari bulan-bulan sebelumnya, sehingga hati itu bersinar bercahaya dan layak menjadi “tempat takungan yang baik” bagi kelebihan-kelebihan membaca al-Quran iaitu hidayah, taqwa dan nur al-Qur’an di bulan Ramadhan.

Moga kita bersedia dan mendapat peluang masuk ke Universiti Ramadhan bagi mengejar ijazah TAQWA, InsyaAllah.

Siiru ala barakatillah.