Thursday, September 22, 2011

Tak Bisa Memilihmu...


Salaamun 'ala manittaba'al huda.

Sebuah perkongsian yang cukup menarik untuk tatapan para pengunjung blog ini. Dipetik dari www.myilham.com

Wajah sugul itu seakannya benar-benar menjelma di depan mata. Luahan dalam tangisan, bersandarkan sebuah ketabahan. Bukan mahu merintih, tetapi sebagai manusia, adakala sukar melawan goyah. Apatah lagi apabila hati menjadi taruhan.
” Sudah beberapa kali direject…”
Mendengar lirihan itu, saya andaikan ia sebagai mewakili seluruh luahan gadis malang yang sepertinya. Malang secara zahir pandangan manusia, tetapi beruntung pada pandangan Yang Maha Esa. Apa yang terdetik di hati kecil saya cuma satu, alangkah cemburu dengan tingginya martabatmu, andai kesabaran menjadi pilihan nombor satu.

BUKAN PILIHAN
Samada lelaki atau wanita, si dara atau teruna, keduanya berpotensi menjadi mangsa sebuah penolakan. Faktornya mudah, engkau bukan pilihan. Siapa yang dapat memaksa sebuah pilihan, andai hati sendiri tiada keinginan. Ada yang ditolak seawal perkenalan, ada yang ditolak di tengah perkenalan dan ramai juga yang ditolak ketika sudah hampir ke gerbang perkahwinan.
Memang alasannya mudah ; bukan pilihan. Namun untuk memujuk hati supaya redha dan menerima, sesungguhnya amat payah.
Bagaimana berbunganya hati seorang gadis tatkala menerima perkhabaran dirinya sedang dirisik. Hati mula memasang pelbagai anganan, tentunya yang manis-manis dan indah belaka. Namun perkhabaran kedua merobek jiwa. Si teruna ‘tidak berminat’ untuk melamarnya.
Ya. Engkau bukan pilihan.


DIA TELAH MEMILIHMU
Dalam kesedihan itu, kadangkala kita sama sekali tidak sedar. Bahkan mungkin juga tidak terfikir. Nun jauh di sana, di suatu tempat yang kita sendiri tidak tahu lokasinya, si dia sedang menadah tangan memohon kepada Yang Esa. Tanpa jemu dia meminta. Antara doanya adalah supaya engkau dan dia dipertemukan dalam suasana penuh barakah dan keredhaan Allah ta’ala.
Engkau menangis, dia berdoa.
Engkau bersedih, dia tetap dengan doanya.
Engkau patah hati, dia terus tabah mengutus doa.
Alangkah indah, jika hijab itu terlerai tatkala engkau sedang merintih berduka. Tentunya gembira dan bahagia akan menjadi temanmu serta merta.

SABARLAH
Tetapi DIA mensyaratkan sesuatu, iaitu kesabaran.
Dia, lelaki itu, dia telah memilihmu.
Dia, lelaki itu, sedang menuju ke arahmu.
Dia, lelaki itu, sedang menyiapkan sebuah taman untukmu.
Dia, lelaki itu, sedang bersabar menanti pertemuan denganmu.
Tetapi engkau membalasnya dengan tangisan dan kegundahan. Mungkin, sebab utama adalah engkau kurang yakin. Jarang benar orang yang yakin dengan suatu perkara yang dia tidak nampak. Jarang benar orang boleh yakin dengan sesuatu yang entah bila tarikh dan waktunya akan tiba.
Manusia tidak akan membeli suatu barang kecuali setelah dilihat dan diyakini kualitinya. Tetapi engkau bukan barangan. Prosesnya nanti bukan proses jual beli.
Ia adalah proses akad yang cukup mulia. Detik-detik yang akan melakar senyum manis di wajahmu sampai bila-bila.

IMAN
Kunci paling utama untuk sebuah kekuatan hanyalah IMAN. Dengan iman, manusia yakin kepada percaturan Tuhan. Tanpa iman, manusia cenderung berputus asa apabila gagalnya sesuatu rancangan.
Mungkin ada yang akan mengadu lirih :
aku bukan tidak sabar dan aku bukan lemah iman. Mungkin kalau sekali atau dua, aku masih boleh bertahan. Tetapi apabila kali ke seterusnya, aku rasanya aku sungguh tiada guna dan nilainya. Bagaikan orang tak laku pula.
Izinkan saya membetulkan, konsep kepercayaanmu itu silap.
Sudah dikata, ini bukan proses jual beli. Dan engkau, bukan barangan yang tiada harga, yang boleh ditafsir laku atau tidaknya.
Ditolak, sama sekali bukan bermakna engkau tak laku.
Bahkan sebenarnya engkau bukan ditolak, tetapi dia sedang akur pada arahan Allah bahawa engkau tercipta bukan untuknya. Sewajarnya engkau merasa syukur dan bergembira, kerana engkau sama sekali tidak bisa menjangkakan, musibah apa yang akan menimpa kalau Allah jodohkan engkau dengan orang yang tidak selayaknya.

BE POSITIVE
Ayuh jadi manusia yang positif. Memilih untuk menjadi manusia yang positif bererti memilih untuk menjadi manusia yang bahagia dan bukannya hidup dalam derita dan sengsara.

PERTAMA :
Ajak hati untuk meyakini Allah tahap maksima. Lawan bisikan dan hasutan jahat dari Syaitan yang mahu menghakis rasa percaya kita kepada Qadha dan Qadar Allah. Kadang-kadang kita sukar untuk yakin bahawa dia yang datang kepada kita, atau dia yang dipertemukan dengan kita, yang kemudiannya kita ditolak, adalah bukan calon suami/isteri kita yang sebenar.
Kita berhujah, ‘hati kecil’ kita yakin yang dia adalah orangnya. Justeru ketika dia memilih untuk menolak, kita ditimpa sejuta rasa kecewa lantaran ‘berimankan’ kepercayaan kepada bisikan hati sendiri.
Sewajarnya saya bertanya ; antara engkau dan Allah, siapa yang lebih kenal akan si dia..?

KEDUA :
Jadilah diri sendiri. Ada kes, seorang gadis dari jurusan undang-undang dirisik seorang ‘ustaz’ dari jurusan agama. Tetapi akhirnya ditolak, atas sebab si ‘ustaz’ mahukan yang tinggi ilmu agama. Terkesan dengan rasa kecewa, si gadis lantas ‘membuang’ dirinya yang sebenar dan cuba menjadi ustazah, dengan harapan dirinya tidak akan ditolak lagi.
Pada saya, ini suatu yang silap. Apa yang sering saya tekankan adalah, jadilah diri anda sendiri. Kalau anda berada di jurusan profesional, jangan meniru-niru supaya menjadi ustazah.
Sila fahami dengan baik, saya tidak bermaksud menjadi ustazah itu tidak baik ataupun meningkatkan ilmu agama itu tidak baik, tetapi saya bercakap dalam konteks membina diri supaya menjadi diri anda sendiri dan bukan orang lain. Refleksi diri itu salah. Sepatutnya, memperbaiki kefahaman terhadap agama dan meningkatkan akhlak sahsiah ke tahap yang lebih baik, dan bukannya berubah dari seorang manusia kepada seorang manusia yang lain.
Baca ulasan saya tentang membina karisma diri di post ini.

KETIGA :
Berdamping dengan orang-orang yang positif. Jangan bergaul dengan kawan-kawan yang hanya memberikan pandangan dan justifikasi negatif kepada kita. Dalam keadaan kecewa dan tertekan, kita perlukan tempat berpaut. Pautan paling positif pertamanya tentulah di dalam solat, di hadapan Allah. Jawapan Allah memang tidak kedengaran di telinga, namun diberikan terus ke dalam jiwa. Pautan kedua, berpautlah pada orang-orang yang positif dan rasional. Orang-orang yang hampir kepada Allah dan kata-katanya juga bisa menghampirkan diri kita kepada Allah.

KESIMPULAN
Kongsikan motivasi ini kepada sahabat-sahabat anda yang sedang berduka. Kadangkala, sepatah dua kata sudah cukup untuk menggembirakan mereka. Kadangkala, dalam keadaan lemah dan tiada tempat berpaut, mereka bisa terjerumus kepada tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya.
Hanya ini yang saya mampu, berkongsi motivasi untuk menguatkan anda dan juga diri saya sendiri. Apakan daya, saya dan anda bukanlah penentu sesebuah takdir, hanya manusia-manusia kecil dan tetap patuh dan akur pada segala aturan dan percaturan dariNya.
Mudah-mudahan, balasannya ada di akhirat sana.

sekian.

Monday, September 19, 2011

Cinta Si Kupu-Kupu

♥~♥ Cinta Ibarat Kupu-Kupu. makin kita mengejarnya, makin ia menghindar. tapi bila kau biarkan ia terbang, ia akan menghampirimu di saat kau tak menduganya. Cinta bisa menbahagiakanmu, tapi sering juga menyakitimu. Namun, cinta tu istimewa apabila kau berikan pada seseorang yang layak menerimanya. Jadi tenang tenang saja, jangan terburu buru dan pilihlah yang terbaik..♥~♥