Saturday, March 27, 2010

Segulung Ijazah Harapan Rakyat - Amni Jagat


Menggengam segulung ijazah
Mendengar tangis manusia
Di bawah hancing bingkai langit
Melihat sungai kekuningan
Dikencing awan hitam kemerdekaan
Di susuk rimba
Terdengar pula suara siamang
Memekik menjadi hakim
Di mahkamah hukum-hukum rimba
Dan ijazah yang diterima
Terpaksa menjadi bahan-bahan buangan
Di dalam tapak pelupusan sampah

Aku ingin bertanya
Ke mana intelek kebenaran
Aku harus bertanya
Di mana hasil tangan pengenggam ijazah
Mahasiswa adalah senjata
Yang akan gagah bersoal
Mahasiswa bukan peralatan kuda
Yang akan ditunggangi tanpa bertanya

Mengapa setiap perkara yang baik
Pasti akan ada yang jahat
Mengapa setiap perkara yang miskin
Pasti akan ada yang kaya
Mengapa setiap perkara yang adil
Pasti akan ada yang zalim
Ya, sudah lebih lima puluh dua tahun
Mengapa suara mahasiswa terus membisu
Kemerdekaan hari ini milik siapa
Mahasiswa harus menjadi suara
Kepada rakyat masa depan
Mahasiswa perlu mendengar nadi negara
Hari ini mahasiswa harus melihat
Ada di atas meludah yang di bawah
Ada yang berkuasa membunuh yang tak berdaya
Ada yang kaya memerah keringat yang miskin
Ada yang kufur memerintah yang beriman
Mana suara mahasiswa waktu ini
Aku ingin bertanya
Mahasiswa membisu atas dasar apa?
Aku mahu bertanya
Mahasiswa berdiri atas dasar apa?
Aku harus bertanya
Mahasiwa belajar atas dasar apa?
Mengapa siamang yang menjadi hakim?

Lihat ada petani yang hilang sawahnya
Dengar ada penduduk dirobohkan rumahnya
Ideologi-ideologi penindasan
Yang dicuri fahamannya dari intelek penjajah
Sering saja tidak menyebelahi sosio rakyat
Orang-orang yang kaya makin disayang
Orang-orang yang miskin makin terbuang
Tanah-tanah di bukit
Sudah tidak ada lagi yang membela
Kelaparan anak-anak fakir miskin
Makin berleluasa mati kebuluran
Keruntuhan akhlak, penderaan, kemaksiatan
Terus menjadi raja di bumi ini
Mahasiswa harus bertanya tentang perkara ini
Ya, mahasiswa tidak buta
Mahasiswa tidak pernah bisu
Mahasiswa perlu melihat dan mendengar
Antara ketawa riang penindasan
Dan redup tangisan pengharapan
Kedaulatan kebenaran harus dibangunkan
Binatang kepalsuan harus dihapuskan
Maka segulung ijazah akan menjadi kejayaan
Yang bermakna dalam kehidupan sehari harian

Di bawah bumbung fasaliti pendidikan ini
Mahasiswa wajar bertanya
Kita dididik untuk berdiri
Di pihak yang mana?
Ilmu yang diajarkan disini
Sesungguhnya adalah suara pembebasan
Yang akan menyokong sebuah sosio kehidupan
Mahasiswa bukan mengejar kekayaan
Mahasiswa bukan bermatlamat kebendaan
Mahasiswa bukan bercita-cita untuk menindas
Rakyat menuntut jawapan

Esok hari langit akan terang kembali
Siang akan terbit menjelma
Siamang di rimba masih bersorak
Sedang rakyat makin mati jiwanya
Dan jawapan dari mulut-mulut intelek mahasiswa
Ditagih bagi membela dan menjaga
Ya, suara mahasiswa akan menjadi hikmah
Dicampak ke laut menjadi pulau
Dicampak ke darat menjadi istana
Rakyat masih menagih kata-kata mahasiswa
Ada yang dipersada mendera
Ada yang disinggahsana menzalimi
Ada yang syurga dunia merampas
Hanya demi sebuah kerakusan

Mahasiswa harus terus menerus bertanya
Mahasiswa harus terus menerus membela
Tidak selamanya siamang menjadi hakim di rimba
Tidak selamanya rakyat terus dipersia
Biar segulung ijazah menjadi syurga
Bagi anak-anak kecil pada masa hadapan
Ayuh mahasiswa usah berhenti bertanya
Mahasiswa tidak buta
Mahasiswa tidak bisu
Mahasiswa tidak tuli
Di bawah payung pendidikan di sini
Kita dididik untuk memihak pada siapa?



Puisi karangan dan deklamasikan oleh saudara Amni Jagat bersempena pesta konvokesyen di Malam Simfoni Nurani anjuran PMIUTM.

Wednesday, March 24, 2010

PMIUTM & TRANSFORMASI di Pesta Konvo 44







Seulas kata sempena Konvokesyen & Final Exam

Perutusan Sempena Konvokesyen UTM ke 44 & Peperiksaan Akhir Semester 2 09/10
Oleh :
Mohd Khairul B. Abdulllah Halim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Teknologi Malaysia


Assalamualaikum & salam sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT atas kurniaan nikmat iman & islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Di kesempatan yang ada ini, suka untuk saya menulis tentang dua perkara yang cukup besar kepada kita selaku seorang mahasiswa iaitu berkaitan dengan Majlis Konvokesyen UTM ke 44 dan peperiksaan akhir semester yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,


Pertama sekali, saya mewakili seluruh ahli Persatuan Mahasiswa Islam UTM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka serta bakal menerima segulung ijazah sebagai bukti kejayaan mereka mengharungi sesi pengajian yang cukup mencabar. Segala penat lelah serta pengorbanan yang dilakukan selama beberapa tahun sebelum ini tentulah terbayar dengan kejayaan yang dikecapi hari ini, alhamdulillah. Tahniah & syabas juga kami ucapkan kepada para aktivis kampus yang juga pendokong PMIUTM yang diketuai oleh mantan Presiden PMIUTM sesi 07/08, saudara Khairul Azly B. Zahan serta sahabat & sahabiah lain yang sama-sama bergraduasi untuk sesi kali ini. Semoga kejayaan anda semua menjadi inspirasi kepada kami bagi meneruskan legasi dakwah di kampus tercinta ini, insyaAllah.

Mahasiswa Milik Masyarakat

Ketahuilah sahabat-sahabat sekalian, masyarakat diluar sana sememangnya tertunggu-tunggu akan kehadiran anda selaku graduan yang telah dibentuk bertahun-tahun di alam kampus untuk memberikan sumbangan kepada mereka. Adalah menjadi tanggungjawab anda sekalian untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa anda merupakan produk yang mempunyai kualiti yang tinggi, mampu menghadapi persaingan, mempunyai daya tahan yang kuat dan mempunyai pengetahuan serta kemahiran yang tinggi.

Untuk lebih berkesan, para graduan mestilah sedar bahawa apabila sudah mendapat ijazah dari universiti, mereka seharusnya terus berusaha untuk meninggikan ilmu pengetahuan yang ada. Perlu kita sedari bahawa ilmu yang ada pada diri kita hanya sedikit. Ini jelas sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi ayat 109 tafsirnya :
"Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhan-Ku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhan-Ku, walaupun Kami tambah lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan".

Dari ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa ilmu itu sangat luas dan banyak yang perlu diterokai dan dicari. Maka jalan terbaik dan berkesan untuk meluaskan ilmu pengetahuan ialah dengan belajar dan membaca buku-buku dan bahan-bahan bacaan yang bermanfaat dan mengandungi nilai-nilai murni dan terpuji.

Final Exam Mode

Seperti kebiasaan, berada di minggu terakhir sebelum memasuki minggu ulangkaji (syudy week) merupakan minggu yang amat sibuk. Test,assignment serta projek yang perlu dihantar menyebabkan diri kita kadangkala merasa agak terbeban dan tertekan dengan situasi ini. Walaubagaimanapun, sebagai seorang mahasiswa yang berdikari, kita sepatutnya sudah pandai untuk menguruskan kesibukkan yang dihadapi dengan sebaiknya. Masa sifatnya cemburu. Kalau terleka sikit, ketika itulah ia menyentakkan kita. Bila di kejar, ketika itulah ianya berlalu dengan pantas meninggalkan kita. Hargailah kelapangan masa yang ada sebaik-baiknya untuk kita membuat persiapan bagi menghadapi suasana ini. “KEJAYAAN sebenar adalah pada membawa orang lain untuk berjaya sama, pencapaian peribadi ini tidaklah begitu menceriakan diri. “

Mohon Restu

Sebagai peringatan kita bersama, sebelum anda semua melangkah ke dewan peperiksaan, mohonlah restu daripada Allah S.W.T, kedua ibu bapa serta pensyarah-pensyarah. Mohon dimaafkan segala kesalahan kita dan dihalalkan apa yang diajar. Restu dipohon agar hati menjadi tenang ketika melangkah masuk ke dewan peperiksaan nanti manakala nasihat serta semangat dan dorongan yang diberikan kepada kita dapat membina keyakinan diri untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan ini, insyaAllah.
Sahabat-sahabiah sekalian, harus diingat, peperiksaan adalah peluang, bukan penghalang. Peperiksaan ialah cara untuk mencari mereka yang berkebolehan, bukannya mencari mereka yang gagal. Maka gunakanlah kesempatan ini untuk menunjukkan segala kemampuan dan kebolehan kita. Apatah lagi kita sebagai Mahasiswa Islam, menonjolkan pencapaian yang terbaik dalam peperiksaan juga merupakan perkara yang perlu untuk menunjukkan keizzahan Islam itu sendiri secara tidak langsung.

Usaha+Doa+Tawakkal=Redha

Panjatkanlah doa kepada Allah SWT agar dipemudahkan segala urusan semasa dan selepas menjawab soalan-soalan yang akan dihadapi nanti. Usaha yang dilakukan sepanjang semester ini diharap dapat menjadi bekalan semasa mengharungi peperiksaan akhir. Juga, pastikan kesihatan dan keselamatan diri terpelihara sepanjang minggu peperiksaan ini. PMIUTM mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir semester 2 09/10 kepada semua mahasiswa. Sekian, wallahua’lam.

Maat taufiq wannajah fil imtihan.

Monday, March 22, 2010

Malam Simfoni Nurani bersama PMIUTM di Pesta Konvo 44























Pementasan teater Menunggu Kata Dari Tuhan arahan Dinsman, pertama kali di Johor!

Ayuh kita ramaikan tapak Pesta Konvo pada 26 Mac 2010 jam 8.30 malam. InsyaAllah kita akan solat Isya berjemaah di tapak pesta konvo bersama pimpinan PMIUTM.

Saturday, March 20, 2010

Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 2010 - Mahasiswa BANGKIT!!



“Kebangkitan gerakan mahasiswa Islam sudah tiba masanya dan kita sendiri sudah tidak sabar untuk mempamerkan wajah kita yang sebenar. Menawan kampus, bermakna kita menawan negara. Tarbiah yang kita terapkan selama ini, sudah meraung-raung untuk dilepaskan dalam bentuk yang lebih kental. Lalu, jiwa-jiwa dan hati-hati kecil kita bagaikan soldadu yang sedia menerima arahan untuk bertindak. Ya, kebangkitan ini, diumpamakan tiupan angin lembut yang tiba-tiba meruap ganas. Ditiup gunung, gunung tercabut. Diterpa lautan, lautan bergelora.” – DzulKhairi Mohd Noor Presiden GAMIS 2007-2009

Friday, March 12, 2010

Mahasiswa Boleh Kritik Kerajaan


KUALA LUMPUR, 12 Mac: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar sentiasa memperbetul setiap perkara yang dilihat salah bukan sahaja di universiti malah dalam pentadbiran negara.

Bercakap dalam satu forum anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Fakulti Sastera Sains Sosial Universiti Malaya malam tadi, Saifuddin berkata, ianya memerlukan keberanian dalam diri setiap mahasiswa dan mereka harus bertindak secara berjemaah.

Mahasiswa juga tegasnya boleh melontarkan kritikan kepada kerajaan dan kerajaan pula tidak seharusnya melabelkan pengkritik sebagai pembangkang.

"Mahasiswa boleh mengkritik Kerajaan, dan Kerajaan tidak boleh cop pengkritik sebagai pembangkang," katanya di hadapan lebih 150 mahasiswa yang hadir.

Menyentuh mengenai sudut pidato yang dihidupkan semula di IPT selepas 20 tahun ianya dihentikan, Saifuddin berkata, sudut pidato merupakan satu platform yang sesuai untuk mahasiswa melontarkan idea mereka melalui pengucapan awam.

Bagaimanapun, beliau yang mengakui mahasiswa mempunyai potensi untuk menggugat pentadbiran universiti mahu Hal Ehwal Pelajar (HEP) agar meletakkan halatuju yang betul dan memahami matlamat sudut pidato dihidupkan semula.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak universiti tidak mengenakan terlalu banyak peraturan terhadap penuntut yang ingin membuat pengucapan awam di sudut pidato sebaliknya memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk mengendalikannya.

"Apa maksud mahasiswa menggugat? Mengugat apa? Menteri? Organisasi, HEP, atau KPT?Amalan buruk, rasuah, kebejatan, kebobrokan?

"Melalui sudut pidato. mahasiswa ada potensi menggugat. Sebab itu HEP perlu ada halatuju yang betul dan faham matlamat sudut pidato. Tak perlu banyak undang-undang dan arahan dalam sudut pidato. Biarkan mahasiswa bebas mengendalikan sudut pidato.

"Mahasiswa boleh berfikir dan menentukan halatuju kampus sendiri," katanya.

Sudut pidato kembali diwujudkan di UM selepas lebih 20 tahun ia diharamkan apabila Akta kolej dan Universiti (AUKU) diperkenalkan.

Dua lagi panelis forum 'Mahasiswa Menggugat: Antara Realiti dan Fantasi' itu, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof. Dr. Redzuan Osman dan bekas bekan fakulti berkenaan, Prof. Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar yang juga penulis buku 'Mahasiswa Menggugat'.

sumber:http://www.harakahdaily.net/v2/

Thursday, March 11, 2010

SIMPOSIUM MAHASISWA 2010 di MMU,MELAKA


Assalamualaikum, Insya Allah Institusi Usrah 09/10 akan membawakan ”SIMPOSIUM MAHASISWA 2010 yang bertemakan “Transformasi Gagasan Kepimpinan Mahasiswa”. Kami berbesar hati menjemput SEMUA pelajar Multimedia University Melaka, Cyberjaya serta pelajar dari universiti sekitar Melaka untuk ke program ini.

Almarhum Bapak Mohammad Natsir (mantan Perdana Menteri Indonesia) pernah mengatakan,” Tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin”. Menurut Natsir lagi, pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah geladangan ummah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat”. Justeru itu, kertas kerja ini akan memperlihatkan bagaimana kepimpinan mahasiswa di kampus harus diperkasakan dalam melahirkan golongan intelektual yang akan menjadi harapan ummah pada masa akan datang. Tambahan pula, kebanyakan mahasiswa tidak mampu mendepani ledakan arus globalisasi yang kian menghimpit struktur masyarakat kini. Harus diingat, gerakan mahasiswa merupakan suatu kuasa yang harus diambil perhatian kerana ia mempunyai sejarah yang tersendiri. Maka tidak hairanlah pemimpin dari peringkat Negara sehinggalah di peringkat masyarakat lahir daripada mantan pimpinan kampus pada era 70an dulu.

Butiran:

Program : Simposium Mahasiswa

Tema : ‘Transformasi Gagasan Kepimpinan Mahasiswa’

Tarikh : 20 Mac 2010 (Sabtu)

Masa : 8.00 pagi - 6.00 petang

Tempat : Central Lecture Complex(CLC 0002),MMU

Yuran : RM 10

Deposit : RM 5

Pelbagai slot yang menarik bakal menanti anda! Pastinya akan memberikan implikasi yang hebat dan satu momentum baru kepada diri anda, organisasi anda serta Universiti anda.


Slot 1 : Pembentangan Kertas Kerja : "Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad"

Speaker : Ustaz Ramadhan Fitri Elias.

Slot 2 : Forum : "Transformasi Gagasan Kepimpinan Mahasiswa"

Panelis 1 : Ustaz Dzulkhairi Mohd Noor, Ketua pemuda Persatuan Ulama' Muda (PUM)
Panelis 2 : Ustaz Sya'ari Abdul Rahman, IP Minda Training & Consultancy.
Panelis 3 : Sdra Ridzuan, Mantan YDP MPMUM.

Slot 3 : Latihan Dalam Kumpulan

5 Fasilitator akan berentap.



Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :

Nik Muhammad Amin bin Nik Muhammad Kamil (Koordinator)

Tel : 013-6285901

E-mail : zuhud_life@yahoo. com

Sekian Terima Kasih



"Usrah is the Nucleus of Da'wah"



Usrah Institution 0910
Multimedia University
Melaka Campus


****P/S : Perhatian kepada sahabat2,sesiapa yg berminat untuk menyertai program ini, sila bagi nama kepada saya secepat mungkin.****