Wednesday, August 11, 2010

Erti Ramadhan bagi seorang Mahasiswa

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T yang mengurniakan nikmat Iman & Islam serta nikmat istiqamah dalam perjuangan membawa Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda.

Marhaban ya Ramadhan Kareem

Setelah sekian lama menanti, akhirnya Ramadhan Al-Mubarak tiba jua akhirnya. Ramadhan, yang padanya mempunyai banyak kelebihan berbanding bulan-bulan lain dalam Islam sangat dirindui oleh hamba-Nya yang beriman. Baginda Rasulullah S.A.W beserta para sahabat juga ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu akan kehadiran Ramadhan yang di dalamnya terdapat malam Laylatul Qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan, Subhanallah! Sabda Rasulullah S.A.W :

"Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardlukan atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu surga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh setan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan" (Hr. Ahmad)




Ramadhan dianggap sebagai sebuah university yang menawarkan pelbagai pengajaran bersifat syumuliyah. Pengajaran ataupun tarbiyyah yang dirangkumkan dalam universiti Ramadhan ini termasuklah Tarbiyyah Ruhiyyah (kerohanian), Tarbiyyah Nafsiah (kejiwaan seperti mendidik mjadi orang yang bersabar), Tarbiyyah Imaniah (keimanan hingga meraih golongan bertakwa yang merupakan kemuncak daripada matlamat berpuasa), dan Tarbiyyah Aqliah (membentuk akal agar sentiasa positif kepada Islam seperti menitik-beratkan motivasi al-Quran).

Maka, apabila kesemua bentuk tarbiyyah ini diadun dalam diri Mahasiswa Muslim yang komited dengan Islam khususnya pada bulan Ramadhan, ditambah dengan penggarapan ilmu menerusi program tazkirah dan sebagainya, maka akan lahirlah Mahasiswa Muslim yang bertakwa sungguh-sungguh kepada Allah S.W.T, iaitu dalam erti kata takwa yang menjadikannya takut kepada Allah, beramal dengan segala perintah-Nya di dalam al-Quran, reda terhadap qada’ dan qadar-Nya serta bersiap-siap dengan bekalan untuk menghadapi-Nya.

Sahabat sahabiah yang dirahmati Allah,

Nah, sahabat mahasiswa sekalian! Apa tunggu lagi? Inilah peluang keemasan kepada kita terutamanya yang bergelar Mahasiswa Islam bagi merebut peluang yang diberikan oleh Allah S.W.T untuk kita sama-sama membentuk, membina serta mencari makna diri sebagai seorang Mahasiswa Islam.

Oleh yang demikian, adalah diharapkan agar Mahasiswa Islam yang akan menempuhi sesi pentarbiyyahan dalam university Ramadhan kali ini akan melahirkan graduan yang yang hebat bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, bahkan cemerlang dalam segenap tindakan, tutur-kata, budi bahasa bukan hanya ketika berada di kampus universiti, malah ia menjadi darah daging sepanjang hidup.

Graduan-graduan Ramadhan yang cemerlang akan menghidupkan malam hari raya dengan bertakbir, berzikir, membaca al-Quran, bersolat sunat, dan mereka sekali-kali tidak akan reda membasahi bibir dengan perkataan yang sia-sia. Seorang Mahasiswa Islam mestilah sedar bahawa lafaz-lafaz takbir mengandungi maksud tarbiah ruh dan iman yang kental yang mampu membawa mereka mencapai status insan-insan yang benar-benar bertakwa di sisi Allah S.W.T. Inilah erti Ramadhan bagi mereka yang bergelar mahasiswa!

Jom...BERCINTA dengan RAMADHAN KAREEM!

Wallahu’alam.