Tuesday, July 20, 2010

.: Jemput Datang Beramai-Ramai :.

Assalamualaikum wbt.

Berikut adalah merupakan program-program yang bakal dijalankan sekitar hujung minggu ini. Dijemput semua mahasiswa/i UTM menyertainya.

1) Together With PMI (TWPMI)

-Merupakan program pengenalan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) kepada sahabat-sahabat baru PMI yang telah mendaftar sebagai ahli.
-Penerangan berkaitan peranan lajnah-lajnah yang terdapat dalam PMIUTM
-Penerangan aktiviti-aktiviti PMIUTM yang akan dijalankan sepanjang semeseter ini.


TWPMI dianjurkan oleh Lujnah Sukan & Kebudayaan (LSK)

2) Sehari Mengenal Jiwa (SEJIWA '10) bersama Ustaz Saiful Islam.


-Merupakan program berbentuk motivasi diri (sentuhan ruhiyyah) istimewa untuk pembangunan jiwa sebagai seorang manusia.
-Sentuhan khas daripada Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (STC)


SEJIWA dianjurkan oleh Lujnah Kebajikan (LK)

3) Seminar Pemantapan Aqidah (SPAQ)-Isu-isu Semasa Umat Islam

-Pembentangan kertas kerja bertajuk Fahaman Syiah Dari Perspektif Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Prof. Madya Dr. Mudasir Rosder (UKM).
-Pembentangan kertas kerja bertajuk Salah Faham Tentang Jihad Dalam Islam oleh Ustaz Nurazmallail Marni (UTM).


SPAQ dianjurkan oleh Jabatan Kerohanian & Integriti Sosial (JAKERIS MPMUTM) sempena kempen Seindah Akhlak Mahasiswa 2010(SALWA '10).

Jangan lepaskan peluang anda bagi menyertai aktiviti-aktiviti di atas!!
Jazakallah khairan kathira.

Thursday, July 8, 2010

Gagasan Budaya Ilmu di UTM

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah S.W.T di atas kurniaan-Nya, dapat saya menitipkan sepatah dua kata serta serba sedikit perkongsian dalam ruangan terhad Suara Siswa sempena kemasukan mahasiswa baru ke kampus UTM untuk sesi kali ini. Saya mewakili seluruh ahli PMIUTM mengucapkan tahniah & selamat datang kepada adik-adik mahasiswa/i baru yang terpilih untuk menyambung pengajian di kampus bertuah, Universiti Teknologi Malaysia.

UTM-Gedung Ilmu Mahasiswa.

Berada di UTM merupakan salah satu daripada rahmat Allah S.W.T yang tidak ternilai harganya. Dengan suasana budaya ilmu yang bakal adik-adik mahasiswa/i harungi sepanjang sesi pengajian di sini, ianya bakal membuka serta memberikan satu pengalaman baru untuk anda semua. Sudah semestinya, seseorang yang bergelar mahasiswa itu perlu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai jenis ilmu pengetahuan, baik ilmu agama yang menjadi fardhu ain sehingga ilmu-ilmu fardhu kifayah, sesuai dengan kedudukan mahasiswa dalam masyarakat yang dikelaskan dalam golongan intelektual. Gagasan Budaya Ilmu yang diperkenalkan oleh Dato Naib Canselor, Prof. Ir. Dr. Zaini Ujang hampir dua tahun lalu, kini sudah menampakkan hasilnya yang tersendiri di kampus UTM baik dari segi pencapaian UTM itu sendiri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, kualiti program-program yang dianjurkan sehinggalah kredibiliti mahasiswanya.

Adik-adik mahasiswa/i yang dikasihi sekalian,

Muaz bin Jabal berkata: “Pelajarilah ilmu, dengan mempelajari ilmu kerana mengharapkan wajah Allah itu mencerminkan takut, mencari ilmu adalah ibadah, mengkajinya adalah tasbih, menuntutnya adalah jihad, mengajarnya kepada ahli keluarga adalah taqarrub...”

Ketahuilah, ilmu juga merupakan aspek terpenting dalam pembangunan sesebuah tamadun di dunia ini selain akhlak. Menurut Malik Bennabi (ahli sejarawan), keutuhan sesebuah tamadun adalah kerana kekuatan dalaman atau idee-force (ilmu sebagai tunjang). Jika kekuatan dalaman ini tiada, nescaya runtuhlah sesebuah tamadun yang dibina. Amat jelas di sini bahawa keruntuhan dan kemunduran sesebuah tamadun adalah akibat daripada ketandusan ilmu dan kemusnahan akhlak. Hal ini dapat dilihat dari perspektif sejarah di mana keruntuhan beberapa tamadun yang telah wujud ribuan tahun dahulu disebabkan ilmu tidak dihargai dan akhlak telah melangkaui norma-norma manusiawi.



Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T telah menunjukkan dengan jelas kepada kita bahawa Miftahul ilmu iaitu kunci ilmu itu adalah membaca. Dalam firman-Nya, surah Al-Alaq ayat 1-5:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajarkan manusia dengan perantara kalam. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak ia ketahui.”

Adik-adik mahasiswa/i yang dikasihi sekalian,

Ilmu lebih bernilai daripada harta.

Bijaknya musuh Islam, apabila berjaya menawan kota Baghdad, mereka segera membuang segala kitab-kitab karangan para ulamak ke dalam Sungai Tigris lalu membakarnya. Dan, itulah titik permulaan di mana umat Islam dijauhkan daripada ilmu! Kenapakah mereka menjauhkan umat Islam daripada ilmu, bukannya harta? Ibnu Qayyim Rahimahullah menyebutkan beberapa kelebihan ilmu berbanding harta. Antaranya ialah ilmu adalah warisan para nabi sedangkan harta warisan para raja. Ilmu menjaga tuannya sedangkan harta dijaga tuannya. Ilmu bertambah jika diajarkan sedangkan harta berkurang jika dibelanjakan ke jalan yang tidak bermanfaat.

Oleh itu, peluang berada di “lautan ilmu” ini perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin. Peluang sudah terhidang di depan mata, tinggal lagi usaha adik-adik untuk merebutnya! Jangan disia-siakan peluang yang ada. Di samping mencari ilmu, jangan lupa untuk mengenali “dunia kemahasiswaan” yang sebenar. "Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar..” -Prof Ungku A. Aziz.
Ikhlaskan niat kerana Allah & Selamat Maju Jaya.

Monday, July 5, 2010

Selamat Datang Mahasiswa/i baru ke UTM

Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera.

Saya mewakili seluruh ahli Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia(PMIUTM) mengucapkan Syabas & Tahniah kepada semua mahasiswa/i yang baru mendaftar di UTM.Selamat menjalani sesi Minggu Transformasi Mahasiswa 2010 (MTM) dengan jayanya.




Thursday, July 1, 2010

Istimewa Untukmu : Mujahidah Dakwah

Assalamualaikum w.b.t.

Sepanjang pemerhatian yang saya lakukan,kebanyakan wanita hari ini suka memperagakan kecantikan mereka di khalayak ramai, terutamanya yang bergelar muslim. Juga, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga segelintir mereka yang terlibat dalam medan dakwah ini terikut-ikut dengan keadaan semasa hari ini di mana kaum wanitanya mementingkan fesyen ataupun gaya bila masuk ke dalam masyarakat. Walaupun begitu, artikel ini bukanlah ditulis untuk menjatuhkan martabat Mujahidah Dakwah yang ada hari ini, jauh sekali untuk merendah-rendahkan mereka. Namun, ianya sebagai peringatan bersama dan ianya juga adalah untuk meninggikan lagi martabat serta maruah bagi mereka yang bergelar Mujahidah Dakwah bilamana ianya difahami, diambil sebagai pengajaran serta peringatan.

Allah s.w.t telah menciptakan manusia dengan seindah-indah kejadian. Kaum wanita diciptakan sesuai dengan sifat keperempuanan dari segi jasmaniah dan naluri. Tabarruj, ialah mendedahkan kecantikan rupa paras, samada kecantikan itu di bahagian muka atau di anggota-anggota badan yang lain. Al-Bukhari RahmatuLlahi ‘Alaihi ada berkata: “Tabarruj, iaitu seseorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.”

Awas! Wahai golongan wanita, Allah telah berfirman yang bermaksud: “Janganlah menampakkan perhiasan”(al-Nur: 31). Dengan ini jelas bahawa sebarang corak perhiasan di anggota badan atau di pakaian, adalah boleh membawa fitnah. Dengan inilah Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini hanya sanggup ditaati oleh wanita-wanita yang beriman sahaja kerana takut kepada kemurkaan Allah dan siksaan dari-Nya.

Ummu Salamah ada menceritakan, maksudnya begini: Asma’ binti Abu Bakar telah menziarahi Rasullullah s.a.w pada suatu hari dengan berpakaian nipis. Lantas Rasulullah s.a.w menasihatinya dengan bersabda yang maksudnya: “Wahai Asma’, sesungguhnya seseorang gadis yang telah berhaid (baligh), tidak harus baginya menzahirkan anggota badan, kecuali ini dan ini.” Di samping itu Rasulullah mengisyaratkan kepada muka dan dua tapak tangan.

Kesimpulan maksud hadith di atas, bolehlah difahamkan bahawa Allah s.w.t membenarkan bagi wanita membuka muka dan dua tangan jika anggota-anggota tersebut tidak disolek. Andainya anggota-anggota tersebut dihiasi, umpamanya muka berbedak, kening bercelak, bibir bergincu dan sebagainya, maka kawasan muka seperti ini wajib juga ditutup dengan kain tudung. Begitu juga dua tapak tangan hingga ke pergelangan. Andainya dihiasi (seperti berinai atau seumpanya) maka wajiblah ditutup seperti bersarung tangan. Tujuan suruhan ini adalah untuk menghindarkan dari berlaku sebarang kemungkaran. Setelah seseorang wanita tidak lagi bersolek kecuali untuk dipersembahkan kepada suaminya, maka tertegaklah suatu benteng yang dapat menyekat sebarang renungan dan kerlingan mata keranjang. Alangkah bahagianya seorang wanita andainya ia bersifat sederhana di luar rumah, tetapi menjadi peragawati di dalam rumah.



Tabarruj yang diharamkan ialah:
- Tabarruj di luar rumah dengan berhias bukan untuk suami.
- Mendedahkan muka dengan tujuan meransang keinginan dan syahwat lelaki.
- Bersolek dan berhias belebihan.
- Menggunakan alat-alat solek / make-up.
- Mempercantikkan bibir, alis dan pipi (mempercantikkan raut muka).
- Dan lain-lain.

Termasuk dalam istilah tabarruj ialah fesyen-fesyen pakaian. Ini kerana pada dasarnya pakaian wanita sama dengan pakaian lelaki iaitu menutup aurat. Ciri pakaian syar’ie wanita ialah:
- pakaian mestilah meliputi seluruh tubuh wanita
- pakaian itu mestilah longgar
- tidak nipis
- bukan pakaian yang mempunyai nilai untuk bermegah-megah dengannya
- tidak menyamai pakaian lelaki
- Pakaian yang tidak memenuhi ciri ini dikira sebagai pakaian yang tabarruj
>Al-Tabarrujj:Ustazah Ni’mat Sidqi (Seorang Ulamak Wanita Mesir-1930M-Terjemahan)