Sunday, June 6, 2010

Anak Soleh

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat
dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"



"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada
pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih
ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari
siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula
mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di
rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar
dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun
sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi,
mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada
selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang.

> Anak-anak adalah amanah dari Ilahi.....Allahurabbi...

Saturday, June 5, 2010

Malaysia perlu tunjuk kesungguhan bantah Israel!

Sampai hari ini, saya melihat Malaysia yang dikatakan negara Islam masih lagi “lunak” bersuara ketika menyatakan bahawa kita menentang dan membantah tindakan terkutuk Israel yang menyerang konvoi kemanusiaan terbaru ke Gaza. Tindakan kerajaan yang masih lagi lembut terhadap negara Yahudi itu cukup mengecewakan. Walaupun kenyataan dikeluarkan sendiri oleh Dato Seri Najib selaku perdana menteri Malaysia menyatakan bantahan, namun perkara itu dilihat hanya satu tindakan yang sia-sia. Sebenarnya, jika dilihat dari sudut realiti, Malaysia sebenarnya masih belum mengambil tindakan yang sepatutnya.

Tindakan menyuarakan bantahan tanpa diiringi oleh apa-apa tindakan yang “keras” terhadap Yahudi itu hanyalah satu tindakan yang tidak membawa apa-apa makna. Saya melihat, Malaysia mestilah mengambil tindakan yang keras bagi menentang Yahudi laknatullah ini. Jangan dibiarkan Yahudi bermaharajalela di Malaysia! Itulah tindakan yang sepatutnya diambil oleh pemimpin negara pada hari ini.

Tindakan keras yang dilihat boleh dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia adalah dengan menghambat keluar Apco Worldwide yang sedang membelit Malaysia hari ini. Ini barulah dikatakan Malaysia betul-betul membantah tindakan terkutuk Yahudi Israel. Selama ini, walaupun Malaysia bersuara membantah dan mengecam tindakan Yahudi ini, namun kita masih lagi “memelihara” agen Yahudi di dalam negara ini. Sebab itulah saya mengatakan bahawa Malaysia masih bersuara “lunak” dalam menyatakan bantahannya terhadap Israel. Apakah pemimpin kita takut dengan kelibat Apco Worldwide ini jika sekiranya Malaysia mengambil tindakan keras dalam isu ini? Sememangnya, Apco ini telah berjaya “melembutkan” suara Malaysia dalam menyokong Palestin. Inilah kelebihan Yahudi. Dan, yang pastinya, bukan hanya setakat Malaysia, namun banyak lagi negara-negara lain termasuk negara Islam sendiri “disenyapkan” oleh agen Yahudi ini, menyebabkan mereka hanya berani mengutuk tindakan Israel itu namun tida apa-apa tindakan yang diambil.



Justeru itu, mahasiswa ingin melihat usul mengecam tindakan zionis di parlimen esok yang akan dibawakan oleh perdana menteri adalah satu usul yang benar-benar menunjukkan kita, Malaysia menentang Yahudi Israel. Bukan hanya setakat keperluan meluluskan usul tersebut, namun tindakan yang keras juga perlu diambil oleh Malaysia jika kita bersimpati dengan nasib rakyat Palestin. Mahasiswa juga mengharapkan agar Apco Worldwide yang ada kaitan dengan negara Yahudi itu juga dibuang dari Malaysia. Mahasiswa sudah cukup bosan melihat sandiwara kosong Malaysia dalam menyatakan pendirian terhadap sikap Yahudi ini. Jika kita (Malaysia) benar-benar membantah tindakan kejam Zionis ini, kami mengharapkan agar pihak kerajaan mengambil tindakan yang tegas dengan membuang segala perkara berkaitan Yahudi Israel dalam negara Malaysia ini. Mahasiswa mahu Malaysia bebas daripada pengaruh Israel.

Saturday, May 22, 2010

.: Wazakkir... :.

Dari Abu Sa'id Al-Khudri Ra. ia berkata: Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya. "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nashrani yang Tuan maksudkan?" Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam menjawab, "Siapa lagi?" (kalau bukan mereka). (HR. Muslim)

Keterangan

Pada zaman sekarang, kita dapat melihat kenyataan sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam ini. Banyak orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru "cara hidup" Yahudi dan Nashrani, baik disedari ataupun tidak. Banyak orang Islam yang telah terperangkap dalam tipu muslihat Yahudi dan Nashrani dan ada pula yang sekaligus menjadi alat untuk kepentingan mereka...(APCO) Ya Allah ! Selamatkan kami dari mereka.



Penulis : Amat sedih jika kita fikirkan. Kadangkala kena pada batang hidung sendiri. Cara hidup oramg kafir sedikit sebanyak telah meresap dalam masyarakat. Dari segi pergaulan, pakaian, muzik, sukan, dan pendidikan pun kita ikut. Kita bagi macam2 alasan untuk menghalalkan apa yang kita buat. Sedangkan kita tahu memang tak elok. Tipu diri sendiri. Barat buat Amarican Idol, kita ikut bodoh bulat-bulat Malaysian Idol, barat buat filem kereta, kita bukan saja buat filem kereta, dengan bohsia pun kita buat. Alasan nak timbulkan kesedaran adalah alasan paling bodoh dan alasan ini jelas diterima oleh masyarakat. Kita juga ke arah pergaulan bebas. JUDI pun kita "HALAL"kan pulak... Barat tonjolkan 'couple' sebelum kahwin adalah sangat perlu. Kita ikut hinggakan orang yang tak ber'couple' kelihatan asing..Maka beruntunglah orang yang asing..Ya Allah..kuatkanlah kami..

Monday, May 17, 2010

Judi Sukan- “Halal” di mata Malaysia?

Sedih dan kecewa. Itulah perasaan yang saya alami bilamana mendengarkan tentang kelulusan lesen judi yang telah diberikan oleh pihak kerajaan kepada sebuah syarikat. MasyaAllah. Apa sudah jadi dengan negara kita? Sebuah negara yang mencanangkan dirinya sebagai sebuah negara Islam, namun hukam-hakam yang berkaitan dengan Islam ditolak ketepi? Apakah ini yang dikatakan sebagai sebuah negara Islam?
Sebagai seorang mahasiswa Islam, yang dididik dengan nilai-nilai serta prinsip-prinsip Islam, saya terfikir, apakah yang menjadi sebab kelulusan itu diberikan? Jika dikatakan untuk mengelakkan perjudian haram, dalam Islam sendiri, arak dan judi telah jelas hukumnya haram.

Maksud Firman Allah S.W.T di dalam surah Al- Maidah ayat 90-91:

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batabg-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya, syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu dari mengingati Allah dan mengerjakan solatma ka tidakkah kamu mahu berhenti?”

Jika dilihat dari segi logik akal, dengan meluluskan lesen perjudian ini, mereka mengatakan bahawa tiada kegiatan kongsi gelap akan berlaku? Wang yang diperolehi akan disalurkan dengan cara yang “betul” kepada kerajaan? Dan, duit-duit yang diperolehi itu juga akan digunakan untuk pembangunan Islam itu sendiri? Bina masjid, bina pusat-pusat pembangunan Islam? Nak menunjukkan bahawa pihak berkuasa masih mementingkan Islam di mata masyarakat? Maka, dengan cara sebegini, rakyat nampak kerajaan tidak melupakan tentang Islam sebagai agama rasmi negara? MasyaAllah...betul ke cara sebegini?



Tidakkah kita terfikir, apakah kesan yang akan berlaku selepas itu? Apakah kesan daripada judi ini kepada individu yang terlibat? Kepada masyarakat serta negara? Jika alasan-alasan seperti di atas digunakan, saya boleh katakan bahawa kelulusan ini tidak memikirkan tentang kesan pada masa depan. Cetek akal dan pemikiran. Perlu lagikah kita mempersoalkan apa yang telah dihukumkan oleh Allah? Apakah kita tidak mengetahui hikmah disebalik pengharaman itu? Sesungguhnya, Allah Maha Luas Pengetahuan-Nya, Maha Luas Ilmu-Nya, Allah Maha Mengetahui.

Subhanallah... Apakah yang menjadi pedoman bagi pihak-pihak yang berwajib ketika memikir serta membahaskan tentang judi ini? Di mana Al-quran yang sepatutnya menjadi panduan dan perlembagaan kita sebagai orang Islam? Apakah hanya hawa nafsu yang menjadi panduan? Logik akal? Huh!...Akal yang cetek lagi terbatas dijadikan panduan... Hawa nafsu yang menjadi pedoman... akhirnya...beginilah jadinya...Hukum Allah dipermainkan... Astaghfirullahal’azim...

Kami mahasiswa Islam, mampu untuk menilai baik dan buruk. Kami mahasiswa Islam, dididik dengan nilai-nilai dan prisip-prinsip Islam. Kami mahasiswa Islam, kami tahu ada orang sedang mempermainkan agama Islam. Kami mahasiswa Islam, kami tidak akan tertipu dengan sandiwara yang dilakukan. Kami mahasiswa Islam!

InsyaAllah, kami mahasiswa Islam yang sedar akan perkara ini akan terus memainkan peranan bagi membantu memberikan penjelasan yang sebenar kepada masyarakat mahasiswa serta masyarakat sekeliling. Kami akan turun ke lapangan ummah, melakukan sedaya mungkin dengan keterbatasan yang kami ada. Ini adalah tanggungjawab kami selaku mahasiswa Islam yang menjadikan Allah sebagai matlamat kami, Rasulullah teladan kami dan al-Quran panduan kami, insyaAllah.

Judi sukan, halal di mata kerajaan Malaysia namun TETAP HARAM di sisi Allah S.W.T.

Monday, May 10, 2010

Ibu & LUNA Color

Maksud firmanullah S.W.T :

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kedua ibubapamu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
-Surah Luqman : Ayat 14-

...........

Di sebuah tabika....
“Okey, semua boleh mula mewarna...”kata Cikgu Mas. Aku dengan adik terkebil-kebil. Saling memandang antara satu sama lain. Mana tidaknya, kami tidak ada pensel warna. Adik mula berjalan-jalan melihat kawan-kawan yang lain sedang leka mewarna. Aku melihat adik menghampiri seorang kawan. Dipinjamnya sekotak pensel warna untuk kami gunakan...

..........

Petang itu, ketika kami sedang berehat di rumah, datang seorang jiran. Aku dengan adik sedang leka menyiapkan kerja sekolah. Ibu berjalan menuju ke muka pintu. Tiba-tiba, aku terdengar suara jiran itu agak tinggi. Apa yang pasti, dia sedang memarahi ibu kerana aku dengan adik menggunakan pensel warna anaknya... Kesian ibu...

Ibu masuk ke rumah sambil menangis. Aku dengan adik segera mendapatkan ibu. Melihat ibu menangis sedih, aku turut menangis. Kesian ibu, tidak mampu untuk membelikan pensel warna buat kami dua beradik. Aku pujuk ibu. Aku kata,” Bila besar nanti, Along nak jadi pilot, Along nak beli pensel warna LUNA banyak-banyak. Nanti tak perlu pinjam orang lain punya”.Adik pula menambah “ Angah nak jadi polis”. Ibu senyum. Aku kesat airmata ibu...

Malamnya, aku nampak ibu bersusah-payah memanjat almari yang tinggi mencari-cari dan mengumpulkan pensel-pensel warna yang telah lama digunakan untuk aku dan adik guna. “ Kita orang susah, takde duit nak beli pensel warna yang baru..”

.........

Esok paginya, aku dengan adik ke sekolah tabika macam biasa. Tiba-tiba, ibu memanggilku melalui tingkap bangunan sekolah. Dia memberikan aku 6 batang pensel warna yang sudah pendek, tetapi telah ditajamkan matanya. Pensel warna itu diikat dengan getah. Ibu pesan, jangan pinjam pensel warna orang lain, gunakan pensel warna yang ibu berikan. Aku mengangguk faham...

.........

Secebis kenangan silam hidupku. Susah payah ibu menyediakan segala keperluan untuk anak-anaknya sekadar yang termampu. Terima kasih ibu atas segala pengorbanan yang dicurahkan. Hanya Allah jua yang mampu membalas segala jasamu.

“Ya Allah, Kau ampunilah segala dosa-dosaku, Kau ampunilah segala dosa kedua ibu bapaku. Ya Allah, kau berikanlah mereka balasan yang sebaik-sebaiknya, atas didikan serta kasih sayang yang mereka limpahkan kepadaku, peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku...Amien ya Rabbal Alamin...”

Monday, May 3, 2010

Yang Mana Satu Pilihanmu?

Bismillahirrahmanirrahim

Choices...Pilihan...
Tak ke kiri pasti ke kanan,
Tak maju ke depan pasti mundur,
Ke belakang atau mungkin statik di satu tempat,
Di titik asal,
Tanpa perubahan apa-apa.

Dalam sedar tak sedar,
Hidup ini penuh dengan pilihan yang kita kena buat,
Sama ada nak bangun awal ataupun nak bangun lambat,
Sama ada nak ke kelas ataupun sambung tidur,
Sama ada nak masak sendiri ataupun nak makan di luar,
Sama ada nak tengok Youtube, movie ataupun nak buat assignment,
Sama ada nak baca komik, majalah ataupun nak baca Al-Quran,
Sama ada nak lengah-lengahkan solat ataupun solat awal waktu,
Lebih buruk lagi kalau terus leka dengan kerja yang dibuat,
Sampai tak sedar waktu solat dah habis,
Na'uzubillah min zalik

Semuanya bergantung pada hati yang memilih dan akal yang memutus,
Tak kira apa pun pilihan yang ada,
Kita memilih mengikut rasa hati,
Akal yang ada akan buat justifikasi dan beri macam-macam alasan,
Supaya pilihan yang kita buat tu nampak baik dan sedap dipandang,

Tak percaya?

Pernah tak suatu ketika kita kena pilih,
Sama ada nak beli keropok lekor seringgit,
Ataupun nak sedekah seringgit pada pakcik tua,
Yang menghulur tangan meminta simpati di pasar malam?



Hati : Hurm, dah lama tak makan keropok lekor..lepas ni ntah bila pulak nak makan.

Akal : Takpelah, lain kali boleh sedekah. Minggu lepas baru je bagi derma untuk bina madrasah baru kampung mana ntah.

Atau lebih buruk lagi kalau...

Hati : Eleh pakcik ni, daripada hidup minta sedekah, kan banyak lagi kerja yang boleh buat untuk cari duit?

Akal : Daripada aku tolong dia dan biarkan dia terus minta sedekah, baik biar camtu je. At least dia boleh cari kerja lain lepas-lepas ni.

Sedangkan di tangan, sudah ada char kuey teow, nasi kerabu dan air soya. Na'uzubillah min zalik.

Ataupun contoh yang lebih dekat. Pernah tak kita kena pilih sama ada nak sambung tidur atau nak bangun dan terus bersihkan diri, berwudhuk untuk tunaikan solat fardhu subuh, bila jam loceng berbunyi pukul 6.00 pagi?

Hati : Ngantuknya..susahnya nak buka mata.

Akal : Alaa..sambung tidur kejap je lagi..semalam tidur pukul 3 siapkan assignment. Tak cukup tidur lagi ni. Nanti ngantuk pulak dalam kelas. Subuh habis lambat lagi.

Padahal kita tahu, sebelum-sebelum ni, kalau kita sambung tidur, mesti nanti terbangun 5-10 minit lagi sebelum terbit fajar. Atau lebih buruk lagi bila waktu dah habis. Na'uzubillah min zalik.

Jadi...
Apa yang nak dipilih?
Apa yang nak dibuat supaya kita buat pilihan yang betul?
Lupakah kita dengan wahyu pertama yang diturunkan?
Iqra'!
Bacalah!
Tuntutlah ilmu!
Kenalilah Allah dan batasan-batasanNya,
Lembutkanlah hatimu untuk pergi mempelajari Al-Quran dan As-Sunnah,
Walaupun susah,
Walaupun perit,
Walaupun malas,
InsyaAllah satu hari nanti,
Biiznillah..Allah akan buka jua hatimu untuk menerima hidayahNya,
Bukankah hati itu raja?
Dan anggota lain adalah rakyat yang setia?

Tapi ingatlah,
Syaitan sentiasa mencari peluang,
Untuk menarik kita kepada pilihan,
Yang salah dan menjauhi Allah.

So..what are you going to do now?

Tuesday, April 13, 2010

.: 2 Biji Halls untuk STUDY :.


Assalamualaikum & Salam Imtihan buat semua.


Alhamdulillah, dengan sedikit kesempatan yang ada terasa ingin menukilkan sesuatu untuk saya kongsikan bersama. Sampai hari ini, sudah 4 paper telah saya lalui. Semoga mendapat result yang terbaik. Apa-apa pun, segala usaha telah dilakukan. Tinggal 2 paper lagi untuk dihabiskan semester kali ini. Walaubagaimanapun, masih banyak lagi kerja-kerja yang perlu dihabiskan. Semoga Allah mengurniakan kekuatan untuk saya mengharungi semua ini, insyaAllah.

Kepada semua sahabat sahabiah, semoga anda juga dapat melakukan yang terbaik untuk semester kali ini. Biarlah kita menjadi contoh kepada sahabat-sahabat yang lain di kampus. Peringatan untuk sahabat-sahabat, dalam kita mengejar keputusan yang terbaik buat diri kita, jangan kita lupa untuk mengejar KEBERKATAN Ilahi. Walau sebaik mana sekalipun keputusan yang kita perolehi, jika tiada keberkatan dari-Nya, maka tiada maknanya.

Sekadar peringatan untuk diri sendiri dan juga para pengujung blog yang tak seberapa ini. Semoga beroleh manfaat bersama, insyaAllah. Untuk entri yang akan datang,saya sudah ada idea untuk menulis tentang "sesuatu".

Wallahu'alam.


*P/S : Tiada kaitan dengan tajuk untuk entri kali ini. Namun, semasa lepas habiskan paper tadi, bila balik ke tempat saya bertapa di PSZ, ada 2 biji gula2 Halls. Terima kasih buat sahabat yang bagi.