Monday, January 3, 2011

Sediakan Dirimu Untuk Ditarbiyyah

Assalamualaikum wbt.

“Tempa jasadmu jadi pahlawan sejati, tuk tegakkan kalimah Ilahi..”

Masih terngiang-ngiang lagi lirik lagu ini dalam kepalaku. Aku cuba menghayati setiap bait lagu yang dinyanyikan oleh para peserta. Nyata, ianya memberikan suatu makna yang sangat bernilai buat diriku. Tahniah sahabat-sahabat yang telah memilih lagu ini. Bagiku, lagu ini cukup bermakna. Sepanjang berlangsungnya program, aku cuba menghayati apa yang cuba disampaikan dan apa yang dilalui oleh mereka. Ternyata, pada permulaannya amat sukar bagi mereka untuk melaluinya. Namun, apabila kefahaman mereka semakin jelas, akhirnya mereka rela untuk ditarbiyyah! Alhamdulillah.

Menghayati Kisah-kisah Perjuangan

Perjuangan untuk membawa Islam bukannya mudah. Lihat sahaja pejuang-pejuang Islam, bermula dengan contoh yang dibawakan oleh nabi Muhammad SAW beserta para sahabat, diikuti oleh tokoh-tokoh Islam zaman kontemporari seperti As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, Zainab Al-Ghazali, dan ramai lagi, semua mereka melalui ujian yang sangat getir, yang mana ujian-ujian ini sudah pastilah tidak mahu dilalui oleh kebanyakan orang, kecuali bagi mereka yang telah menginfakkan diri untuk membawa Islam, menjadi salah satu di antara mata-mata rantai perjuangan Islam.

Baginda Nabi Muhammad SAW, dibaling batu-batu tatkala berdakwah ke Thaif, sehingga bertakung darah baginda dalam sepatu yang dipakainya walaupun Saidina Zaid Bin Harithah berusaha melindungi Baginda.

Zainab Al-Ghazali, seorang aktivis dakwah muslimah yang gigih menyeru manusia kepada Allah, telah menjalani fasa-fasa penyiksaan. Meremang bulu roma di saat mendengar kisahnya dikurung dalam penjara bersama-sama dengan anjing-anjing yang garang, yang bersedia membaham tubuh lemahnya. Meski demikian, keyakinanannya akan pertolongan Allah SWT, kelazatan iman yang dirasakannya, serta tekad yang membaja membuat ia terus bersabar.

Manakala, As-syahid Imam Hassan Al-Banna, pembunuhannya dirancang oleh pemerintah yang tidak senang dengan kejayaannya menubuhkan gerakan Islam Ikhwanul Muslimin. Bahkan, bukan itu sahaja yang dihadapi oleh Al-Banna, tetapi pelbagai tekanan diberikan selepas kematiannya. Selain rumahnya dirobohkan, kebimbangan pemerintah ke atas dakwah Ikhwan ternyata sekali apabila jenazah As Syahid tidak dibenarkan diiringi oleh sesiapa pun di kalangan lelaki. Jenazah beliau diiringi oleh para malaikat dan kaum ibu ke kubur. Lelaki yng mengiringi beliau hanyalah bapanya, Imam Abdul Rahman Al Banna dan Syeikh Makram Abid.

Kisah-kisah di atas menunjukkan kepada kita bagaimana orang yang terlibat dalam membawa risalah Islam sentiasa berhadapan dengan pelbagai kesukaran, mehnah dan tribulasi. Bagaimana kita hari ini? Sudah bersedia menghadapi kesukaran-kesukaran yang bakal ditempuhi?

Tarbiyyah Keras

Di sini, kami cuba meletakkan mereka di suatu keadaan yang tidak biasa bagi mereka. Satu keadaan yang dilihat agak sedikit “sukar” dengan kondisi yang mereka alami sebelum ini. Bukanlah niat kami untuk meletakkan mereka dalam keadaan sebegitu, namun itu adalah satu keperluan bagi mereka kerana kami ingin melihat bagaimana mereka menempuhinya. Sanggup atau tidak. Tarbiyyah berat. Kami tahu, anda bukan tidak boleh melakukannya, tetapi kami ingin melihat “kesediaan” anda semua. Kesediaan yang macam mana? Kesediaan untuk meninggalkan sedikit kesenangan untuk menempuh sedikit kesusahan. Apa yang senang? Apa yang susah?

Yang senang itulah yang kita telah lalui dalam kebanyakan hari-hari kita. Betul? Setiap hari kita dapat tidur dengan lena. Kita dapat makan makanan yang sedap-sedap dan mengenyangkan. Berpakaian cantik dan selesa setiap hari. Inilah yang kita lalui dan alami setiap hari. Adakah kita yakin kita dapat memperjuangkan Islam dalam keadaan yang cukup selesa dewasa ini? Belum pasti bukan? Yang susah macam mana pula? Sudah semestinya tidur yang tidak mencukupi, yang tak lena. Makan makanan yang tidak sedap dan tak kenyang. Pakaian basah, busuk dan kotor. Situasi ini jarang kita hadapi, malah ada yang tak pernah pun. Jadi, di sinilah “kesediaan” anda dinilai.

Hakikat Perjuangan Islam

Hakikat perjuangan Islam bukan mudah dan bukan senang. Hakikat untuk memperjuangkan Islam, kita mestilah bersedia untuk meninggalkan kesenangan yang kita perolehi untuk menempuh kesusahan dengan melihat akhirat itulah kesenangan yang sebenarnya, bukan dunia yang fana. Jika sekiranya kita tidak bersedia menempuh kesusahan itu, usahlah kita labelkan diri kita sebagai pejuang agama Allah. Firman Allah yang bermaksud:

Wahai orang-orang Yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada kehidupan akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. (At-taubah :38)

Adakah kita sudah ditarbiyyah?

Maka pada hari ini, sudah semestinya kita sebagai salah satu daripada mata rantai perjuangan Islam yang telah dimulakan oleh orang-orang yang terdahulu menyediakan diri untuk ditarbiyyah. Tarbiyyah mempunyai pelbagai kaedah dan bentuk. Dan, yang pastinya, tarbiyyah mestilah disertakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Yang pastinya, tarbiyyah yang dilalui ini mestilah mampu mengubah segala perkara yang tidak baik yang ada dalam diri kita kepada perkara yang lebih baik. Jika sekiranya kita masih di takuk yang lama, tiada perubahan baik dari dalam diri atau organisasi, kita sebenarnya masih belum lagi ditarbiyyah. Ingat, tarbiyyah bukan bergantung kepada banyakknya program, kem dan sebagainya yang kita lalui. Tetapi, sejauh mana diri kita berubah setelah melaluinya, itulah tarbiyyah yang sebenar. Jangan menyangka bahawa kita sudah ditarbiyyah jika kita masih tidak berubah.



Berubah dari:

Tidak menepati masa kepada lebih menepati masa.

Kurang mengambil berat kepada sahabat kepada lebih mengambil berat.

Kurang kebersamaan kepada sentiasa mementingkan kebersamaan.

Kurang bertanggungjawab kepada lebih bertanggung jawab.

Sahabat sahabiah yg kucintai kerana Allah,

Melepaskan sedikit kesenangan untuk melalui sedikit kesusahan adalah tarbiyyah buat pejuang-pejuang Islam. Hakikatnya, ia bukan mudah dilakukan serta memerlukan mujahadah yang tinggi. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang sedang berusaha untuk menyediakan diri sebagai abnaul harakah,abnaul jamaah.

No comments:

Post a Comment