Thursday, August 18, 2011

Ramadhan Fasa Terakhir

Salaamun 'ala manittaba'al huda.

Saya hanya memuatkan kembali artikel berkaitan Ramadhan yang pernah saya tulis untuk Seruan Jumaat (SJ) yang diterbitkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam UTM setiap hari Jumaat. Tajuk asal artikel ialah Ramadhan: Tarbiyyah Didahulukan, Taqwallah Diutamakan.

Ramadhan Kareem menjelma lagi,

Setelah setahun kita menanti,

Disambut dengan syukur di hati,

Semoga terisi dengan barokah Ilahi.


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya, bulan Ramadhan al-Mubarak yang dinanti-nanti oleh seluruh pencinta ibadah telah kunjung tiba akhirnya. Tidak dapat digambarkan perasaan gembira dan syukur kerana diberikan peluang sekali lagi untuk melalui bulan yang penuh barokah dan tarbiyyah ini. Sudah semestinya, sahabat sahabiah tentunya tidak mahu melepaskan peluang yang terhidang ini begitu sahaja. Saya yakin dan percaya, pelbagai persiapan dan persediaan mental fizikal telah sahabat lakukan untuk bersama-sama kita mengutip maghfirah dan barokah yang terhidang di sepanjang bulan ini, InsyaAllah.

Ramadhan Bulan Tarbiyyah

Bila menjelmanya Ramadhan,ianya seringkali dikaitkan dengan bulan latihan ibadah. Memang benar, kita akan berlumba-lumba untuk meningkatkan amalan-amalan yang sebelum ini biasa dilakukan, namun bila tibanya Ramadhan ini, kita semakin rancak melazimi amalan-amalan ini. Sudah tentunya, umum mengetahui ganjaran yang dijanjikan oleh Allah mengenai kelebihan dan kemuliaan bulan ini di samping pada ketika dan waktu ini, seluruh syaitan telah dibelenggu oleh Allah. Peluang yang harus digunakan oleh kita selaku kaum Muslimin kerana syaitan yang dibelenggu ini sebenarnya memberikan kelebihan kepada kita di mana potensi untuk syaitan menghasut kita berbuat kejahatan semakin berkurang. Sesungguhnya, ini terdapat dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang berbunyi “Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar”. Pada saat ini juga, pintu-pintu rahmat telah dibuka serta ditutup segala pintu neraka, sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W mengenainya dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang berbunyi:

“Apabila tiba Ramadhan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jhannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat.”

Oleh yang demikian, inilah peluang dan kesempatan yang terbaik bagi kita selaku mahasiswa Islam yang sedang menuntut ilmu di kampus untuk sama-sama kita mendidik diri di samping meningkatkan amalan-amalan kita disisi-Nya. Keberkatan dan kelebihan bulan Ramadhan yang mana Al-Quranul Kareem diturunkan dari Lauh Mahfuz ke Baytul Izza dan terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam Laylatul Qadar tidak harus dibiarkan terlepas begitu sahaja tanpa mendahulukan untuk mentarbiyyah diri kita supaya merasai kenikmatannya.


Ramdhan juga dikenali sebagai Syahrut Tarbiyyah (Bulan Mendidik)

Taqwa Bukan hanya dalam Bulan Ramadhan

Sahabat mahasiswa yang dirahmati Allah,

Firmanullah S.W.T dalam surah al-Baqarah:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” [ ayat 183].

Saidina Umar R.A pernah bertanya kepada sahabatnya Abdullah Bin Ka’ab tentang Taqwa. Lalu Abdullah bin Ka’ab menjawab dengan memberikan persoalan kepada Saidina Umar dengan bertanyakan: “Pernahkah anda melalui satu jalan yang dipenuhi duri? Bagaimanakah anda melaluinya?” Maka dijawab oleh Saidina Umar “Ya, tentu sekali. Apabila aku melaui jalan yang dipenuhi duri, maka aku akan mengangkat sedikit pakaianku lalu aku berjalan dengan berhati-hati supaya tidak terpijak duri-duri itu”. “Maka, itulah taqwa.” Jawab Abdullah Bin Kaab.

Lihatlah sahabat dan sahabiah, sifat berhati-hati serta teliti semasa menjalani ibadah puasa merupakan prasyarat yang diutamakan untuk kita memperoleh darjah ketaqwaan Allah. Bukan hanya setakat menahan lapar dan dahaga, malah kita juga dituntut untuk menahan segala perkara yang tidak membawa faedah serta perkara yang membawa kepada kemaksiatan.

Berdasarkan ayat di atas juga, Allah S.W.T telah mewajibkan kita untuk berpuasa, mudah-mudahan kita akan menjadi hamba-Nya yang bertaqwa. Perlu difahami disini, untuk mencapai Taqwa yang dijanjikan bukannya mudah. Ianya memerlukan mujahadah beserta keikhlasan yang tinggi. Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa darjah Taqwallah itu bukanlah hanya ada di dalam bulan Ramadhan sahaja. Ianya ada selagi kita masih dikurniakan nafas ini. Cuma, apa yang penting adalah, kita dituntut agar berusaha dengan istiqamah untuk mencapainya.


Taqwa-"Ijazah" yang akan diperolehi bila kita keluar dari Universiti Ramadhan.

Akhirul kalam, saya ingin mengajak sahabat sahabiah mahasiswa Islam untuk kita sama-sama mengahayati Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini supaya bilamana kita semua keluar daripada madrasah Ramadhan ini, kita dapat membentuk peribadi Mukmin yang lebih baik dari sebelumnya. Salam Ramadhan untuk semua. Siiru ala barakatillah.

Oleh: Mohd Khairul B. Abdullah Halim (3SGS)

Pengerusi Lujnah Pendidikan & Kepimpinan (LPK PMIUTM)

Copy paste dari blog rasmi PMIUTM.

2 comments:

  1. Im, taqwa tu mcm semut hitam, yg berjalan di atas batu yg hitam, pd waktu pekat malam...=)

    ReplyDelete