Baitul Muslim vs Baitul Dakwah?
“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan
hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fatimah dengan
suara tersekat-sekat.
Mata Fikri liar melihat kiri kanan,
mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan
takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari
dengan penampilannya.
“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Fatimah mula sebak.
“Tak. Maksud saya – ”
“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fatimah dengan kasar.
“Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup
melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara
Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.
Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.
Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung
labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya
apabila memujuknya untuk bermadu.
Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
“Ada hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah
menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa
yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan
dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah
bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan
yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia
di hari kelak.
Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah
sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah,
Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti
ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah
terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah
terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri
seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri
melamarnya menjadi isteri kedua.
Fikri masih lagi aktif dalam
dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan
penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang
keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut.
Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.
Gerak kerja
dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi
program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan
mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya
jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini
hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh
sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang
semudanya.
Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia
menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri, sama ada dia menjadi
pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.
Suatu petang dalam
suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan
ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar
takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya
selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri
menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama
seperti Fatimah atau tidak?
Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.
Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat
terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.
Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah
ditanya kepada Fatimah.
“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tanpa segan silu.
“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.
“Er, betul ke ni?” tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut
mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh
Fikri.
“Kenapa saya?” tanya Fikri ingin tahu.
“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
“Baiklah,” jawab Fikri tersenyum.
Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.
Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa
dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya
disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu
mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa
Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.
Kadang-kala
letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah,
seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum
berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah.
Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut
atau penghalang dakwah suaminya.
“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
“Ye sayang?” jawab Fikri sambil memandu.
“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri
dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri
kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan
isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah
Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.
“Kita dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.
Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu
menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
“Itu isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.
“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.
“Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.
Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
“Perjuangan,” jawab Fikri.
***
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu,
dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu,
dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan
perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat
tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara
yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada)
berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk
kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”
[QS al-Taubah 9:24]
_________________________________________________________________________
Baitul Muslim & Baitul Dakwah, ada beza ke? Mohon pandangan sahabat2 semua. Syukran.
pandangan ana dari budak kecik y masih jahil, ADA!
ReplyDeletebtw, mabruk..menarik kisah ni..
smoga dipermudahkn urusan senior2 y ke arah ini..aminn ya Rabb~ ^^,