Monday, February 4, 2013

Kisah Pengorbanan Seorang Pejuang ISLAM....

Salaamun 'ala manittaba'al huda.
Sebuah kisah pengorbanan seorang Pejuang Agama... 
Balik dari solat Jumaat semalam, ketika kereta mengambil ruang parkir dihadapan rumah, terpacak satu kelibat seorang tua ditangga rumah saya. Melihat kelibat saya, wajahnya terkuntum senyuman, dan berhias perasaan lega, mungkin agak lama sikit ia menunggu, kebetulannya semalam saya agak lambat pulang,lebih kurang jam 3.30 petang, kerana seusai solat Jumaat, saya turut terlibat dengan demonstrasi bantah pusat perjudian diTaman Kurnia Jaya, batu 3 dan selepas itu menerima jemputan makan oleh seorang sahabat.

Nafasnya agak tersekat-sekat, lelah, agak lama juga tidak bertemu dengannya, kelihatan sangat kurus, baju Melayu yang dipakainya kelihatan begitu besar, tangan dan tubuhnya bergetaran, dia bangun dari tangga, saya menerpa dan memeluknya, dia mencium saya. "Ustaz apa khabar?" "Alhamdulillah" kata saya "Pok pulak macam mana, sihat ke? Dia kata "Kita (org Terengganu biasanya membahasakan kita sebagai gantinama saya) macam ni lah, sihat orang tua, camana sangat".. "Yeyeye, jom masuk".. Saya memimpinnya masuk dan duduk dikerusi.

"Lama sungguh tak jumpa Pok" kata saya.. Dia bagitau sejak setahun sakitnya bertambah, lelahnya semakin kuat, ditambah pula kencing manis, jantung dan buah pinggang, kulit mukanya yang cengkong menimbulkan tengkorak mukanya, perkataannya sentiasa tersekat kerana menggilirkan patah perkataan dan mengambil nafas. Dia menunjukkan bekas pembedahan di perutnya, sepanjang hampir 10 inci.." Saya banyak duduk di rumah je, tak larat nak gi jauh, sebab tu saya solat Jumaat diMasjid kat rumah, tak larat dah nak gi Masjid AlFatah".

Saya mengenalinya sejak saya balik dari pengajian pada tahun 1997. Waktu mula saya kenal dia, dia sudah pun terlibat didalam PAS, seorang aktivis hebat, walaupun tidak berjawatan, beliau sangat aktiv, terutama waktu pilihanraya, dulu pernah dia bagitau saya " kita ni dah la tak dok ilmu, nak masuk syurga dengan mengajar, tok leh, nak masuk syurga dengan sembahyang, belum tentu, sebab kita jahil, sembahyang betul ke tak pun kita tak tahu, kalau malas jugok nak tolong buat kerja Islam, tak tahu lah, nak bawak pahala apa bila kita mati esok-esok"..Kelibatnya sentiasa berada dimana-mana sahaja yang ada program PAS, usrah, ceramah, kuliah diMasjid Surau, Pilihanraya, dia dan PAS sangat sinonim dan sedondon.

Kini usianya 69 tahun, tidak sekuat dulu, tetapi pada PRU 12 yang lalu, beliau masih lagi berselirat diMarkas, walaupun dah banyak duduk dari berdiri, banyak berzikir dari bercakap, banyak menggosok dada dari memegang poster, kerana kesihatannya yang semakin meruncing, kehidupannya agak dhoif, hartanya cuma ada, tidak berada. Kebiasaannya bila kita buat program sumbangan pada warga emas atau miskin dia adalah salah seorang penerimanya, dia sentiasa menolak, tetapi kita paksa dia mengambilnya, dia tidak pernah meminta-minta, pernah disatu PRK(kalau tak silap di permatang pasir) satu mengajaknya minum di kedai, dia kata "Kita tadok duit seseng haram ni ustaz"..Ya Allah, tak dapat dibayangkan, dia sanggup pergi jauh dan berhari-hari utk bantu perjuangan, anaknya 4 orang, dah besar dan semua dah bekerja, Aruah isterinya juga bersemangat sepertinya, riuh rendah suara Aruah isterinya jika berjumpa dengan saya..."ngapa Ust cepat sangat kawin, kalau tak boleh jadi menantu kita, kita ingin sangat nak dapat menantu ustaz" .. Kata Aruah isterinya kepada saya.." Saya kan boleh kawin empat, kalau mek setuju, boleh je" kata saya, dia ketawa je. Itulah diatara gurauan dengan isterinya yang masih saya ingat 10 tahun dulu ketika saya kerumahnya,Allah swt membahagiakan mereka dengan kedua-duanya sangat bersemangat dalam perjuangan.

"Pok datang dari mana ni?, tanya saya.."dari rumah, suruh anak saya hantar tadi, dia balik dah, kejap lagi dia datang ambil" rupanya dah setengah jam dia tunggu saya.."Pok ada hajat apa nih" tanya saya.." Pilihanraya bila ustaz" dia pulak yang tanya saya.."tak tau lah Pok, mungkin bulan 3 ni kot, bunyi-bunyi kabar begitulah".."ustaz bertanding lagi ke?..tanya dia.."tak tau lah Pok, terserahlah pada pimpinan, bertanding pun tak pe, tak bertanding pun takpe"..kata saya " kalau bertanding, ustaz kat Tg Lumpur lagi ke?"..tanya dia lagi, saya diam je, tak tahu apa nak jawap, sebab dalam PAS ni, semua keputusan adalah keputusan kepimpinan. Dia faham.."saya dah tak daya dah nak kerja macam dulu, nak berjalan pun tak berapa boleh, sembahyang pun duduk atas kerusi je, harap ustaz kerja lah sungguh2, saya nak sangat tengok Islam menang, nak tengok PAS menang, tapi tak tahulah, rasanya macam dah dekat nak mati dah ni"..kata dia..air mata jernih keluar dari matanya yang telahpun kekuningan, cermin matanya dibuka dan ia mengesat air mata dengan jarinya, agak lama tersekat perkataannya, saya melihatnya dengan kesayuan, "takpe lah Pok , sabar je, semuanya ketentuan Allah swt, kita cuma wajib berjuang dan berusaha, Allah swt lah yang menentukan kemenangan atau kekalahan, tetapi kalau kita ikhlas berjuang, InsyaAllah kita akan menang juga diakhirat nanti walaupun kita tersembam didunia" ..dia angguk sambil tangannya memeluk poket sehingga terlepas tongkatnya jatuh kelantai.
Tangannya dikeluarkan dari poket bersama dua gulong duit yang diikat dengan getah, " yang ni untuk ustaz, dan yang satu lagi untuk fisabilillah, untuk pilihanraya"..dia sedekahkan kepada saya RM 500 dan untuk fisabilillah sebanyak RM 1800. Kali ini giliran air mata saya pula menitis, tidak dapat digambarkan seorang manusia dhoif, miskin, sakit, tua menghulurkan sumbangan untuk perjuangan yang pasti tiada balasan dunia untuknya. Saya kata "Pok simpanlah duit ni, Pok kan sakit, nak pakai duit"..tangannya menolak tangan saya ketika saya menghulurkan padanya semula.." Ust ambillah duit ni, kita dah tua, tak pakai duit dah, dah nak mati dah, nanti kalau simpan, bila kita mati, duit tu jadi tak guna, saya simpan sikit-sikit untuk pilihanraya, duit anak-anak bagi, orang sedekah masa masuk wad, kita kumpul sikit-sikit, memang dah niat nak bagi kat ustaz"..

Terharu sangat rasanya,kerana bila difikirkan, ada orang yang lebih berkemampuan, kaya, sihat tapi tak nak sumbang kepada perjuangan, simpan dan terus simpan. "Tu je lah hajat saya , mari rumah ustaz ni" ..sekejap lepas itu bunyi motorsikal anaknya berhenti dihadapan rumah.."anak kita mari Doh, kita nak balik dulu".. Saya memimpinnya keluar, terlalu uzur orang tua ni.."satu lagi jangan lupa, kalau ustaz dengar kita mati, ustaz mari sembahyang mayat kita ye"..kata dia..saya tak boleh berkata..hanya menjawab dengan anggukan dan air mata, terlalu sukar untuk dia melangkah naik motorsikal hingga saya terpaksa menolong mengangkat sebelah kakinya untuk duduk di kusyen motorsikal.

Sehingga pagi ini, minda masih menerawang bayangan wajahnya, hati masih lagi tersendu dengan peristiwa semalam, Allah swt mendatangkan kepada saya seorang manusia yang tulus didalam perjuangan, diawal berkenalan dengannya di medan perjuangan sehingga hampir mati pun dia masih tetap berkorban untuk perjuangan. Tiada apa yang boleh saya katakan, hanya berdoa moga Allah swt akhiri hidupnya dengan Husnul Khatimah dan jika ia mati, moga Allah swt tempatkan rohnya bersama para Siddiqin dan Syuhada. Saya dapat merasakan harapannya, agar Islam menang. "InsyaAllah Pok, saya akan gunakan sumbangan ini sebaik mungkin, saya akan belikan logistik untuk memenangkan Islam"..duit RM 500 yang diberikan kepada saya, saya sumbangkan kembali untuk fisabilillah sebagai menurut jejak perjuangannya, "moga kita dapat sama-sama bertemu diSyurga Allah swt diAkhirat nanti, InsyaAllah".

Dinukilkan oleh Ustaz Rosli Abdul Jabar
YDP PAS Kawasan Kuantan
 PS- Mengingatkan aku kembali tentang sebuah program tarbiyyah bertemakan pengorbanan... dulunya hanya retorik, namun hari ini ia adalah sebuah realiti. Ya ALLAH... Tetapkanlah aku di jalan-Mu. Ameen. Aku hanya debu kecil dalam perjuangan ini....

2 comments:

  1. daripada retorik hinggalah kepada realiti semuanya indah bersulamkan tarbiyah. :)

    ReplyDelete
  2. tu dia org kuat tarbiyah sudah datang ^^,

    ReplyDelete