Apabila disebut tentang melahirkan Negarawan Tarbiyyah, apakah yang sahabat-sahabat fahami tentang konsep ini? Bagi saya, secara peribadinya, negarawan tarbiyyah yang dimaksudkan adalah seorang pemimpin yang memiliki ilmu Islam yang mengakar, pengetahuan serta pemikiran yang mapan, idealis dan konsisten,di samping memberi sumbangan dalam menyelesaikan permasalahan umat.
Konsep Negarawan Tarbiyyah
Konsep negarawan tarbiyyah yang saya bincangkan ini adalah merupakan satu lontaran idea kepada satu permasalahan yang wujud pada hari ini, iaitu krisis kepimpinan. Memandangkan mahsiswa hari ini adalah merupakan bakal pemimpin negara Malaysia suatu masa nanti, maka ianya dirasakan satu konsep yang perlu dipraktikkan secara serius bermula dari sekarang, iaitu ketika berada di alam kampus supaya negarawan yang dilahirkan ini mampu memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan.
Ciri-ciri Negarawan Tarbiyyah
Bilamana konsep negarawan tarbiyyah ini dilontarkan ke pemikiran kita, maka seterusnya mungkin ada yang mempersoalkan tentang apakah ciri-ciri ataupun kriteria yang boleh memenuhi sifat sebagai nagarawan tarbiyyah? Secara jujurnya, tidak ada ciri-ciri yang khusus untuk dipadankan dengan konsep yang cuba dilontarkan. Namun, apa yang dapat saya kongsikan dengan sahabat-sahabat pembaca bagaimana di Indonesia, konsep yang hampir sama dilontarkan oleh KAMMI, sebuah gerakan mahasiswa yang aktif memperjuangkan suara mahasiswa di sana. Terdapat 3 element utama ataupun ciri yang harus dimiliki dalam usaha membentuk negarawan tarbiyyah ini.
Pertama, modal intelektual. Inilah merupakan salah satu modal terbesar yang harus dimiliki oleh generasi mahasiswa kita pada hari ini. Menurut Jalaludin Rahmat, intelektual adalah gabungan dari ilmuan, teknokrat dan moralis. Mungkin timbul pula persoalan kenapa mahasiswa mesti memiliki modal intelektual? Secara jelasnya, modal intelektual mutlak yang dimiliki adalah sebagai satu medium untuk membaca dan menganalisa fenomea yang terjadi di sekeliling kita. Semakin banyak mahasiswa mengkaji wacana-wacana sosial maka semakin peka dan tinggi pembacaannya tentang keadaan yang terjadi pada hari ini.
Kedua, penglibatan mahasiswa dalam jaringan atau politik kampus. Memang kita tidak dapat menafikan bahawa suatu masa dahulu kampus adalah medan yang telah melahirkan ramai tokoh-tokoh besar dan berpengaruh pada hari ini. Nama-nama seperti Datuk Mohammed Khalid Nordin, Datuk Saifudin Abdullah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi tokoh yang mencorakkan politik tanah air pada hari ini adalah merupakan pimpinan mahasiswa yang sangat aktif ketika zaman mahasiswa mereka suatu ketika dahulu. Justeru, mahasiswa hari ini perlu melibatkan diri secara aktif di peringkat universiti sebagai golongan yang mempunyai idealism yang tersendiri serta mampu membina ketokohan dan pengaruh tersendiri, bukannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Ketiga, spiritual sosial, iaitu hubungan sosial yang dibina oleh mahasiswa yang terlibat secara aktif dalam orientasi dakwah terutamanya. Selama ini, jika dapat kita perhatikan, orientasi dakwah hanya berpusat kepada keupayaan mewujudkan pembaikan dan keizzahan peribadi sendiri dan bukannya keizzahan sosial (masyarakat mahasiswa). Dalam usaha melahirkan negarawan tarbiyyah ini, maka kita memerlukan mahasiswa yang mampu membentuk kondisi sosial yang baik. Perkara ini perlu ditiikberatkan kerana spiritual sosial adalah suatu keadaan yang harus dibina dalam rangka membumikan nilai-nilai ketuhanan dalam suatu masyarakat.
Kesimpulannya, konsep negarawan tarbiyyah ini merupakan lontaran idea yang perlu dikaji secara serius oleh pelbagai pihak yang terlibat supaya suatu mekanisme pembentukan yang praktikal dapat dijalankan untuk melahirkan negarawan tarbiyyah yang dicita-cita, InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment