Wednesday, March 24, 2010

Seulas kata sempena Konvokesyen & Final Exam

Perutusan Sempena Konvokesyen UTM ke 44 & Peperiksaan Akhir Semester 2 09/10
Oleh :
Mohd Khairul B. Abdulllah Halim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Teknologi Malaysia


Assalamualaikum & salam sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT atas kurniaan nikmat iman & islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Di kesempatan yang ada ini, suka untuk saya menulis tentang dua perkara yang cukup besar kepada kita selaku seorang mahasiswa iaitu berkaitan dengan Majlis Konvokesyen UTM ke 44 dan peperiksaan akhir semester yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,


Pertama sekali, saya mewakili seluruh ahli Persatuan Mahasiswa Islam UTM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka serta bakal menerima segulung ijazah sebagai bukti kejayaan mereka mengharungi sesi pengajian yang cukup mencabar. Segala penat lelah serta pengorbanan yang dilakukan selama beberapa tahun sebelum ini tentulah terbayar dengan kejayaan yang dikecapi hari ini, alhamdulillah. Tahniah & syabas juga kami ucapkan kepada para aktivis kampus yang juga pendokong PMIUTM yang diketuai oleh mantan Presiden PMIUTM sesi 07/08, saudara Khairul Azly B. Zahan serta sahabat & sahabiah lain yang sama-sama bergraduasi untuk sesi kali ini. Semoga kejayaan anda semua menjadi inspirasi kepada kami bagi meneruskan legasi dakwah di kampus tercinta ini, insyaAllah.

Mahasiswa Milik Masyarakat

Ketahuilah sahabat-sahabat sekalian, masyarakat diluar sana sememangnya tertunggu-tunggu akan kehadiran anda selaku graduan yang telah dibentuk bertahun-tahun di alam kampus untuk memberikan sumbangan kepada mereka. Adalah menjadi tanggungjawab anda sekalian untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa anda merupakan produk yang mempunyai kualiti yang tinggi, mampu menghadapi persaingan, mempunyai daya tahan yang kuat dan mempunyai pengetahuan serta kemahiran yang tinggi.

Untuk lebih berkesan, para graduan mestilah sedar bahawa apabila sudah mendapat ijazah dari universiti, mereka seharusnya terus berusaha untuk meninggikan ilmu pengetahuan yang ada. Perlu kita sedari bahawa ilmu yang ada pada diri kita hanya sedikit. Ini jelas sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi ayat 109 tafsirnya :
"Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhan-Ku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhan-Ku, walaupun Kami tambah lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan".

Dari ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa ilmu itu sangat luas dan banyak yang perlu diterokai dan dicari. Maka jalan terbaik dan berkesan untuk meluaskan ilmu pengetahuan ialah dengan belajar dan membaca buku-buku dan bahan-bahan bacaan yang bermanfaat dan mengandungi nilai-nilai murni dan terpuji.

Final Exam Mode

Seperti kebiasaan, berada di minggu terakhir sebelum memasuki minggu ulangkaji (syudy week) merupakan minggu yang amat sibuk. Test,assignment serta projek yang perlu dihantar menyebabkan diri kita kadangkala merasa agak terbeban dan tertekan dengan situasi ini. Walaubagaimanapun, sebagai seorang mahasiswa yang berdikari, kita sepatutnya sudah pandai untuk menguruskan kesibukkan yang dihadapi dengan sebaiknya. Masa sifatnya cemburu. Kalau terleka sikit, ketika itulah ia menyentakkan kita. Bila di kejar, ketika itulah ianya berlalu dengan pantas meninggalkan kita. Hargailah kelapangan masa yang ada sebaik-baiknya untuk kita membuat persiapan bagi menghadapi suasana ini. “KEJAYAAN sebenar adalah pada membawa orang lain untuk berjaya sama, pencapaian peribadi ini tidaklah begitu menceriakan diri. “

Mohon Restu

Sebagai peringatan kita bersama, sebelum anda semua melangkah ke dewan peperiksaan, mohonlah restu daripada Allah S.W.T, kedua ibu bapa serta pensyarah-pensyarah. Mohon dimaafkan segala kesalahan kita dan dihalalkan apa yang diajar. Restu dipohon agar hati menjadi tenang ketika melangkah masuk ke dewan peperiksaan nanti manakala nasihat serta semangat dan dorongan yang diberikan kepada kita dapat membina keyakinan diri untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan ini, insyaAllah.
Sahabat-sahabiah sekalian, harus diingat, peperiksaan adalah peluang, bukan penghalang. Peperiksaan ialah cara untuk mencari mereka yang berkebolehan, bukannya mencari mereka yang gagal. Maka gunakanlah kesempatan ini untuk menunjukkan segala kemampuan dan kebolehan kita. Apatah lagi kita sebagai Mahasiswa Islam, menonjolkan pencapaian yang terbaik dalam peperiksaan juga merupakan perkara yang perlu untuk menunjukkan keizzahan Islam itu sendiri secara tidak langsung.

Usaha+Doa+Tawakkal=Redha

Panjatkanlah doa kepada Allah SWT agar dipemudahkan segala urusan semasa dan selepas menjawab soalan-soalan yang akan dihadapi nanti. Usaha yang dilakukan sepanjang semester ini diharap dapat menjadi bekalan semasa mengharungi peperiksaan akhir. Juga, pastikan kesihatan dan keselamatan diri terpelihara sepanjang minggu peperiksaan ini. PMIUTM mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir semester 2 09/10 kepada semua mahasiswa. Sekian, wallahua’lam.

Maat taufiq wannajah fil imtihan.

No comments:

Post a Comment