Monday, May 10, 2010

Ibu & LUNA Color

Maksud firmanullah S.W.T :

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kedua ibubapamu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
-Surah Luqman : Ayat 14-

...........

Di sebuah tabika....
“Okey, semua boleh mula mewarna...”kata Cikgu Mas. Aku dengan adik terkebil-kebil. Saling memandang antara satu sama lain. Mana tidaknya, kami tidak ada pensel warna. Adik mula berjalan-jalan melihat kawan-kawan yang lain sedang leka mewarna. Aku melihat adik menghampiri seorang kawan. Dipinjamnya sekotak pensel warna untuk kami gunakan...

..........

Petang itu, ketika kami sedang berehat di rumah, datang seorang jiran. Aku dengan adik sedang leka menyiapkan kerja sekolah. Ibu berjalan menuju ke muka pintu. Tiba-tiba, aku terdengar suara jiran itu agak tinggi. Apa yang pasti, dia sedang memarahi ibu kerana aku dengan adik menggunakan pensel warna anaknya... Kesian ibu...

Ibu masuk ke rumah sambil menangis. Aku dengan adik segera mendapatkan ibu. Melihat ibu menangis sedih, aku turut menangis. Kesian ibu, tidak mampu untuk membelikan pensel warna buat kami dua beradik. Aku pujuk ibu. Aku kata,” Bila besar nanti, Along nak jadi pilot, Along nak beli pensel warna LUNA banyak-banyak. Nanti tak perlu pinjam orang lain punya”.Adik pula menambah “ Angah nak jadi polis”. Ibu senyum. Aku kesat airmata ibu...

Malamnya, aku nampak ibu bersusah-payah memanjat almari yang tinggi mencari-cari dan mengumpulkan pensel-pensel warna yang telah lama digunakan untuk aku dan adik guna. “ Kita orang susah, takde duit nak beli pensel warna yang baru..”

.........

Esok paginya, aku dengan adik ke sekolah tabika macam biasa. Tiba-tiba, ibu memanggilku melalui tingkap bangunan sekolah. Dia memberikan aku 6 batang pensel warna yang sudah pendek, tetapi telah ditajamkan matanya. Pensel warna itu diikat dengan getah. Ibu pesan, jangan pinjam pensel warna orang lain, gunakan pensel warna yang ibu berikan. Aku mengangguk faham...

.........

Secebis kenangan silam hidupku. Susah payah ibu menyediakan segala keperluan untuk anak-anaknya sekadar yang termampu. Terima kasih ibu atas segala pengorbanan yang dicurahkan. Hanya Allah jua yang mampu membalas segala jasamu.

“Ya Allah, Kau ampunilah segala dosa-dosaku, Kau ampunilah segala dosa kedua ibu bapaku. Ya Allah, kau berikanlah mereka balasan yang sebaik-sebaiknya, atas didikan serta kasih sayang yang mereka limpahkan kepadaku, peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku...Amien ya Rabbal Alamin...”

1 comment: