Sedih dan kecewa. Itulah perasaan yang saya alami bilamana mendengarkan tentang kelulusan lesen judi yang telah diberikan oleh pihak kerajaan kepada sebuah syarikat. MasyaAllah. Apa sudah jadi dengan negara kita? Sebuah negara yang mencanangkan dirinya sebagai sebuah negara Islam, namun hukam-hakam yang berkaitan dengan Islam ditolak ketepi? Apakah ini yang dikatakan sebagai sebuah negara Islam?
Sebagai seorang mahasiswa Islam, yang dididik dengan nilai-nilai serta prinsip-prinsip Islam, saya terfikir, apakah yang menjadi sebab kelulusan itu diberikan? Jika dikatakan untuk mengelakkan perjudian haram, dalam Islam sendiri, arak dan judi telah jelas hukumnya haram.
Maksud Firman Allah S.W.T di dalam surah Al- Maidah ayat 90-91:
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batabg-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya, syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu dari mengingati Allah dan mengerjakan solatma ka tidakkah kamu mahu berhenti?”
Jika dilihat dari segi logik akal, dengan meluluskan lesen perjudian ini, mereka mengatakan bahawa tiada kegiatan kongsi gelap akan berlaku? Wang yang diperolehi akan disalurkan dengan cara yang “betul” kepada kerajaan? Dan, duit-duit yang diperolehi itu juga akan digunakan untuk pembangunan Islam itu sendiri? Bina masjid, bina pusat-pusat pembangunan Islam? Nak menunjukkan bahawa pihak berkuasa masih mementingkan Islam di mata masyarakat? Maka, dengan cara sebegini, rakyat nampak kerajaan tidak melupakan tentang Islam sebagai agama rasmi negara? MasyaAllah...betul ke cara sebegini?
Tidakkah kita terfikir, apakah kesan yang akan berlaku selepas itu? Apakah kesan daripada judi ini kepada individu yang terlibat? Kepada masyarakat serta negara? Jika alasan-alasan seperti di atas digunakan, saya boleh katakan bahawa kelulusan ini tidak memikirkan tentang kesan pada masa depan. Cetek akal dan pemikiran. Perlu lagikah kita mempersoalkan apa yang telah dihukumkan oleh Allah? Apakah kita tidak mengetahui hikmah disebalik pengharaman itu? Sesungguhnya, Allah Maha Luas Pengetahuan-Nya, Maha Luas Ilmu-Nya, Allah Maha Mengetahui.
Subhanallah... Apakah yang menjadi pedoman bagi pihak-pihak yang berwajib ketika memikir serta membahaskan tentang judi ini? Di mana Al-quran yang sepatutnya menjadi panduan dan perlembagaan kita sebagai orang Islam? Apakah hanya hawa nafsu yang menjadi panduan? Logik akal? Huh!...Akal yang cetek lagi terbatas dijadikan panduan... Hawa nafsu yang menjadi pedoman... akhirnya...beginilah jadinya...Hukum Allah dipermainkan... Astaghfirullahal’azim...
Kami mahasiswa Islam, mampu untuk menilai baik dan buruk. Kami mahasiswa Islam, dididik dengan nilai-nilai dan prisip-prinsip Islam. Kami mahasiswa Islam, kami tahu ada orang sedang mempermainkan agama Islam. Kami mahasiswa Islam, kami tidak akan tertipu dengan sandiwara yang dilakukan. Kami mahasiswa Islam!
InsyaAllah, kami mahasiswa Islam yang sedar akan perkara ini akan terus memainkan peranan bagi membantu memberikan penjelasan yang sebenar kepada masyarakat mahasiswa serta masyarakat sekeliling. Kami akan turun ke lapangan ummah, melakukan sedaya mungkin dengan keterbatasan yang kami ada. Ini adalah tanggungjawab kami selaku mahasiswa Islam yang menjadikan Allah sebagai matlamat kami, Rasulullah teladan kami dan al-Quran panduan kami, insyaAllah.
Judi sukan, halal di mata kerajaan Malaysia namun TETAP HARAM di sisi Allah S.W.T.
No comments:
Post a Comment