Thursday, July 8, 2010

Gagasan Budaya Ilmu di UTM

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah S.W.T di atas kurniaan-Nya, dapat saya menitipkan sepatah dua kata serta serba sedikit perkongsian dalam ruangan terhad Suara Siswa sempena kemasukan mahasiswa baru ke kampus UTM untuk sesi kali ini. Saya mewakili seluruh ahli PMIUTM mengucapkan tahniah & selamat datang kepada adik-adik mahasiswa/i baru yang terpilih untuk menyambung pengajian di kampus bertuah, Universiti Teknologi Malaysia.

UTM-Gedung Ilmu Mahasiswa.

Berada di UTM merupakan salah satu daripada rahmat Allah S.W.T yang tidak ternilai harganya. Dengan suasana budaya ilmu yang bakal adik-adik mahasiswa/i harungi sepanjang sesi pengajian di sini, ianya bakal membuka serta memberikan satu pengalaman baru untuk anda semua. Sudah semestinya, seseorang yang bergelar mahasiswa itu perlu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai jenis ilmu pengetahuan, baik ilmu agama yang menjadi fardhu ain sehingga ilmu-ilmu fardhu kifayah, sesuai dengan kedudukan mahasiswa dalam masyarakat yang dikelaskan dalam golongan intelektual. Gagasan Budaya Ilmu yang diperkenalkan oleh Dato Naib Canselor, Prof. Ir. Dr. Zaini Ujang hampir dua tahun lalu, kini sudah menampakkan hasilnya yang tersendiri di kampus UTM baik dari segi pencapaian UTM itu sendiri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, kualiti program-program yang dianjurkan sehinggalah kredibiliti mahasiswanya.

Adik-adik mahasiswa/i yang dikasihi sekalian,

Muaz bin Jabal berkata: “Pelajarilah ilmu, dengan mempelajari ilmu kerana mengharapkan wajah Allah itu mencerminkan takut, mencari ilmu adalah ibadah, mengkajinya adalah tasbih, menuntutnya adalah jihad, mengajarnya kepada ahli keluarga adalah taqarrub...”

Ketahuilah, ilmu juga merupakan aspek terpenting dalam pembangunan sesebuah tamadun di dunia ini selain akhlak. Menurut Malik Bennabi (ahli sejarawan), keutuhan sesebuah tamadun adalah kerana kekuatan dalaman atau idee-force (ilmu sebagai tunjang). Jika kekuatan dalaman ini tiada, nescaya runtuhlah sesebuah tamadun yang dibina. Amat jelas di sini bahawa keruntuhan dan kemunduran sesebuah tamadun adalah akibat daripada ketandusan ilmu dan kemusnahan akhlak. Hal ini dapat dilihat dari perspektif sejarah di mana keruntuhan beberapa tamadun yang telah wujud ribuan tahun dahulu disebabkan ilmu tidak dihargai dan akhlak telah melangkaui norma-norma manusiawi.



Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T telah menunjukkan dengan jelas kepada kita bahawa Miftahul ilmu iaitu kunci ilmu itu adalah membaca. Dalam firman-Nya, surah Al-Alaq ayat 1-5:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajarkan manusia dengan perantara kalam. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak ia ketahui.”

Adik-adik mahasiswa/i yang dikasihi sekalian,

Ilmu lebih bernilai daripada harta.

Bijaknya musuh Islam, apabila berjaya menawan kota Baghdad, mereka segera membuang segala kitab-kitab karangan para ulamak ke dalam Sungai Tigris lalu membakarnya. Dan, itulah titik permulaan di mana umat Islam dijauhkan daripada ilmu! Kenapakah mereka menjauhkan umat Islam daripada ilmu, bukannya harta? Ibnu Qayyim Rahimahullah menyebutkan beberapa kelebihan ilmu berbanding harta. Antaranya ialah ilmu adalah warisan para nabi sedangkan harta warisan para raja. Ilmu menjaga tuannya sedangkan harta dijaga tuannya. Ilmu bertambah jika diajarkan sedangkan harta berkurang jika dibelanjakan ke jalan yang tidak bermanfaat.

Oleh itu, peluang berada di “lautan ilmu” ini perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin. Peluang sudah terhidang di depan mata, tinggal lagi usaha adik-adik untuk merebutnya! Jangan disia-siakan peluang yang ada. Di samping mencari ilmu, jangan lupa untuk mengenali “dunia kemahasiswaan” yang sebenar. "Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar..” -Prof Ungku A. Aziz.
Ikhlaskan niat kerana Allah & Selamat Maju Jaya.

No comments:

Post a Comment