Thursday, July 1, 2010

Istimewa Untukmu : Mujahidah Dakwah

Assalamualaikum w.b.t.

Sepanjang pemerhatian yang saya lakukan,kebanyakan wanita hari ini suka memperagakan kecantikan mereka di khalayak ramai, terutamanya yang bergelar muslim. Juga, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga segelintir mereka yang terlibat dalam medan dakwah ini terikut-ikut dengan keadaan semasa hari ini di mana kaum wanitanya mementingkan fesyen ataupun gaya bila masuk ke dalam masyarakat. Walaupun begitu, artikel ini bukanlah ditulis untuk menjatuhkan martabat Mujahidah Dakwah yang ada hari ini, jauh sekali untuk merendah-rendahkan mereka. Namun, ianya sebagai peringatan bersama dan ianya juga adalah untuk meninggikan lagi martabat serta maruah bagi mereka yang bergelar Mujahidah Dakwah bilamana ianya difahami, diambil sebagai pengajaran serta peringatan.

Allah s.w.t telah menciptakan manusia dengan seindah-indah kejadian. Kaum wanita diciptakan sesuai dengan sifat keperempuanan dari segi jasmaniah dan naluri. Tabarruj, ialah mendedahkan kecantikan rupa paras, samada kecantikan itu di bahagian muka atau di anggota-anggota badan yang lain. Al-Bukhari RahmatuLlahi ‘Alaihi ada berkata: “Tabarruj, iaitu seseorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.”

Awas! Wahai golongan wanita, Allah telah berfirman yang bermaksud: “Janganlah menampakkan perhiasan”(al-Nur: 31). Dengan ini jelas bahawa sebarang corak perhiasan di anggota badan atau di pakaian, adalah boleh membawa fitnah. Dengan inilah Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini hanya sanggup ditaati oleh wanita-wanita yang beriman sahaja kerana takut kepada kemurkaan Allah dan siksaan dari-Nya.

Ummu Salamah ada menceritakan, maksudnya begini: Asma’ binti Abu Bakar telah menziarahi Rasullullah s.a.w pada suatu hari dengan berpakaian nipis. Lantas Rasulullah s.a.w menasihatinya dengan bersabda yang maksudnya: “Wahai Asma’, sesungguhnya seseorang gadis yang telah berhaid (baligh), tidak harus baginya menzahirkan anggota badan, kecuali ini dan ini.” Di samping itu Rasulullah mengisyaratkan kepada muka dan dua tapak tangan.

Kesimpulan maksud hadith di atas, bolehlah difahamkan bahawa Allah s.w.t membenarkan bagi wanita membuka muka dan dua tangan jika anggota-anggota tersebut tidak disolek. Andainya anggota-anggota tersebut dihiasi, umpamanya muka berbedak, kening bercelak, bibir bergincu dan sebagainya, maka kawasan muka seperti ini wajib juga ditutup dengan kain tudung. Begitu juga dua tapak tangan hingga ke pergelangan. Andainya dihiasi (seperti berinai atau seumpanya) maka wajiblah ditutup seperti bersarung tangan. Tujuan suruhan ini adalah untuk menghindarkan dari berlaku sebarang kemungkaran. Setelah seseorang wanita tidak lagi bersolek kecuali untuk dipersembahkan kepada suaminya, maka tertegaklah suatu benteng yang dapat menyekat sebarang renungan dan kerlingan mata keranjang. Alangkah bahagianya seorang wanita andainya ia bersifat sederhana di luar rumah, tetapi menjadi peragawati di dalam rumah.



Tabarruj yang diharamkan ialah:
- Tabarruj di luar rumah dengan berhias bukan untuk suami.
- Mendedahkan muka dengan tujuan meransang keinginan dan syahwat lelaki.
- Bersolek dan berhias belebihan.
- Menggunakan alat-alat solek / make-up.
- Mempercantikkan bibir, alis dan pipi (mempercantikkan raut muka).
- Dan lain-lain.

Termasuk dalam istilah tabarruj ialah fesyen-fesyen pakaian. Ini kerana pada dasarnya pakaian wanita sama dengan pakaian lelaki iaitu menutup aurat. Ciri pakaian syar’ie wanita ialah:
- pakaian mestilah meliputi seluruh tubuh wanita
- pakaian itu mestilah longgar
- tidak nipis
- bukan pakaian yang mempunyai nilai untuk bermegah-megah dengannya
- tidak menyamai pakaian lelaki
- Pakaian yang tidak memenuhi ciri ini dikira sebagai pakaian yang tabarruj
>Al-Tabarrujj:Ustazah Ni’mat Sidqi (Seorang Ulamak Wanita Mesir-1930M-Terjemahan)

No comments:

Post a Comment