Tuesday, June 8, 2010

Sebuah Perkongsian: Mesti Baca!

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T kerana nikmat masa yang dikurniakan. Walaupun sibuk dengan kerja-kerja di tempat latihan industri, saya berkesempatan untuk menghabiskan sebuah buku yang sangat unik, sesuai untuk bacaan sahabat-sahabat mahasiswa, lebih-lebih lagi kepada mereka yang diberikan amanah sebagai pimpinan pelajar. Buku tokoh “Kezuhudan Umar Abdul Aziz, Kesederhanaan Nik Abdul Aziz” merupakan sebuah buku yang sangat bermanfaat dan mendidik jiwa.

Buku yang menceritakan perbandingan 2 tokoh unik di dua zaman ini sememangnya memberikan satu suntikan yang cukup bermakna, mengandungi pelbagai ibrah yang boleh diambil daripada kedua-dua tokoh tersohor ini.



Buku keluaran Rijal Media, ditulis oleh Ustaz Wan Ji Wan Hussin dan Saifulamri M. Hussain ini mendedahkan kepada pembaca tentang kisah kehidupan Khalifah Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan kezuhudannya semasa memegang tampuk pemerintahan khilafah Islam suatu ketika dahulu. Kehidupan Umar Abdul Aziz ini telah dijadikan ikutan oleh YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan.

Dalam buku ini, penulis mempersembahkan beberapa situasi serta perkara yang hampir sama dilakukan oleh kedua-dua orang tokoh ini. Sebagai contoh, ketika kedua-duanya hendak diberikan jawatan untuk memimpin. Khalifah Umar Abdul Aziz cuba menolak jawatan yang diberikan kepadanya manakala ketika kemenangan PAS di Kelantan, jawatan menteri besar cuba diberikan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga ditolak oleh beliau.
Saya merasa cukup kagum dengan kata-kata yang diluahkan oleh kedua-dua tokoh ini.
“Aku bukan seorang Qadi, tetapi aku adalah seorang yang akan melaksanakan perintah Allah. Aku bukanlah orang yang terbaik, tetapi aku juga adalah seorang manusia seperti kalian juga. Cumanya, aku dibebankan dengan bebanan yang berat berbanding kalian”- Khalifah Umar Abdul Aziz.

“Berat saya hendak pegang jawatan ini. Ia merupakan khizyun fi ad-dunya, wanadamah fi al-akhirat, iaitu kesengsaraan di dunia dan penyesalan di akhirat”- Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Subhanallah...Sungguh indah ungkapan @ bait yang diucapkan oleh kedua-dua tokoh ini.

Selain daripada itu, banyak lagi situasi dan perkara-perkara yang menunjukkan persamaan kedua-dua tokoh berkenaan dalam buku ini. Antaranya ialah kesukaran melaksanakan Islam, berhikmah dalam menegur, memerintah bukan dengan nafsu, pengaduan nasib di hadapan Allah, memberi dan menerima nasihat, berani kerana benar, takut hanya kepada Allah dan banyak lagi.

Dari sudut gaya penulisan di dalam buku ini, pengarang memberikan contoh kisah yang berlaku kepada Khalifah Umar Abdul Aziz kemudiannya diikuti oleh kisah yang hampir sama yang berlaku kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Dengan gaya penulisan ini, kita dapat melihat bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz benar-benar mengamalkan apa yang telah dilakukan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz semasa pemerintahannya.

Akhir sekali, dunia Islam hari ini telah mengalami ketandusan pemimpin yang dilihat betul-betul mampu untuk menjulang Islam. Oleh itu, adalah penting bagi pemimpin-pemimpin Islam hari ini untuk mengambil teladan daripada pemimpin-pemimpin Islam terdahulu, lebih-lebih lagi menjadikan Rasulullah S.A.W, para sahabat dan beberapa nama besar sebagai contoh dalam pemerintahan.

No comments:

Post a Comment