Sunday, December 11, 2011

Apalah yang boleh dibuat dengan duit ini…?

Salaamun 'ala manittaba'al huda.


KISAH SEDIH SEBAGAI IKTIBAR.

Sekeping duit RM1 saya gengam kemas di telapak tangan. Untuk membeli minuman pun belum tentu lepas. Kebetulan malam itu saya sangat-sangat lapar. Lalu tanpa hala tuju yang jelas, saya singgah sebentar di sebuah surau berdekatan rumah sewa untuk menunaikan solat isyak. Tahun itu 1998, ketika saya masih bujang. “Apalah yang boleh dibuat dengan duit ini…?” kata hati, sambil tangan terus memasukkan wang itu tadi ke tabung surau. Ya, lebih baik bersedekah dan belajarlah bersabar menahan lapar dan sengsara.

Cuba-cubalah selami, orang yang tak punya harta, kata naluri kecil. Bayangkanlah perasaan bila menatap wajah si kecil yang sentiasa menanti kepulangan ayah bonda dengan buah tangan, aneka kuih, lauk pauk atau alas perut yang sebenarnya tidak pernah kunjung tiba dan hanya mimpi semata-mata. Teringat sebuah rancangan televisyen, ketika wartawan menemubual seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, daripada keluarga susah dan daif. “Jika ada duit, adik nak makan apa?” tanya wartawan wanita itu tentang hasrat dan cita-cita sikecil itu jika punya cukup belanja.

“Roti canai...” jawab kanak-kanak ini tersekat-sekat dengan wajah yang menunduk malu. Pilu rasanya, bayangkan makanan bernilai 70 sen ketika itu pun tidak mampu dibeli. Biarlah malam ini saya merasa pula. Selesai solat, saya kembali ke rumah sewa, tempat tinggal bersama tujuh rakan yang lain, yang masing-masingnya tidak ada di rumah.


Tidur untuk menahan lapar

Saya pun melabuhkan tubuh di atas lantai ruang tamu, sambil cuba memejamkan mata. Tidur, jalan terbaik menahan lapar kata hati lagi. Hati memujuk diri sambil sesekali berdoa, agar hari esok akan lebih baik daripada hari ini. Moga ujian ini tidak berpanjangan dan penghapusan dosa dan kesalahan saya selama ini.Tiba-tiba selang beberapa minit, pintu rumah diketuk bertubi-tubi.

“Nah..ambik ni, kami teringat kat Azamin tadi, saja beli nasi goreng nii..lebih,” kata jiran, sepasang suami isteri beranak dua kepada saya sambil menghulurkan bungkusan makanan itu.

Setelah rapat menutup pintu, air mata saya tumpah. Terharu yang amat. Rasa kerdilnya diri. Bagaimana Allah telah menyelamatkan saya malam itu…hanya kerana secebis doa dan sedekah yang secubit cuma.

Benarlah kata orang dan ahli agama, bersedekahlah, nescaya dirimu diganjar Allah. Jika tidak di dunia, akhirat kelak, saham kita akan bercambah-cambah.

1 comment: